PELABUHAN KLANG – Northport (Malaysia) Bhd (Northport) mencatat jumlah pengendalian keseluruhan sebanyak 1,327,883 FWT (freight weight tonnes) pada September 2025, sekali gus mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu sebanyak 1,277,409 FWT yang dicatat pada Oktober 2024.
Pencapaian baharu ini membuktikan kekuatan dan ketahanan berterusan operasi kargo konvensional Northport dalam menghadapi perubahan dinamik perdagangan serantau dan global.
Prestasi cemerlang ini didorong oleh pertumbuhan kukuh merentasi semua segmen kargo.
Segmen kargo pukal am telah mencatat 375,169 FWT pada September 2025, peningkatan sebanyak 18.6% berbanding September 2024, dengan
kargo besi dan keluli menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 289,629 FWT.
Sementara itu, segmen kargo pukal cecair mencatat 399,086 FWT pada September 2025, peningkatan 27.3% berbanding September 2024, didorong
terutamanya oleh peningkatan pengendalian kargo bahan kimia sebanyak 220,147 FWT.
Segmen kargo pukal kering pula mencatat 439,003 FWT pada September 2025, peningkatan sebanyak 38.7% berbanding September 2024, dengan kargo bijirin
jagung menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 122,223 FWT. Segmen Roll-On Roll- Off (atau RoRo) turut menunjukkan pertumbuhan positif dengan pengendalian 114,625 FWT pada September 2025, peningkatan 23.7% berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, pencapaian terbaharu ini menyerlahkan kekukuhan operasi dan kedudukan
strategik Syarikat dalam ekosistem maritim Malaysia.
“Pencapaian rekod baharu ini mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap kami, dedikasi warga kerja Northport serta keberkesanan inisiatif penambahbaikan
berterusan yang dilaksanakan.
“Walaupun berdepan cabaran berterusan dalam rantaian bekalan global, pasukan kami sekali lagi membuktikan ketahanan dan
kecemerlangan dalam pengendalian kargo konvensional,” kata beliau.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, pengendalian kargo konvensional Northport berjumlah 9,600,675 FWT, iaitu peningkatan 4.2% berbanding tempoh yang
sama pada tahun 2024.
Untuk rekod, Northport telah mengendalikan sejumlah 12,691,633 FWT kargo konvensional pada tahun 2024, iaitu jumlah tahunan tertinggi sejak penubuhan Northport pada tahun 2001.
Tambah Nik Muzani, pencapaian ini adalah bukti komitmen berterusan Northport terhadap kecemerlangan operasi dan kepuasan pelanggan.
Northport salah satu pelabuhan pelbagai guna terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan menyeluruh dalam pengendalian kargo kontena dan konvensional.
Syarikat ini terus memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem perdagangan dan perindustrian Negara di bawah Kumpulan Pelabuhan
MMC. – MalaysiaGazette















