KUALA LUMPUR -Malaysia memuji pelbagai usaha Presiden Donald Trump di samping peranan penting yang Mesir, Qatar, Turkiye dan negara-negara lain dalam menamatkan perang di Gaza.
Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri menyeru menyeru komuniti antarabangsa agar mengambil peluang tersebut untuk meneruskan semula proses damai berasaskan penyelesaian dua negara.
Katanya, ia selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC dan UNGA) yang berkaitan, termasuk Resolusi UNGA A/RES/ES-10/23 mengenai Kemasukan Ahli Baharu ke PBB bertarikh 10 Mei 2024.
Malaysia juga menyeru agar semua pihak yang terlibat agar mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang telah dipersetujui dan mendesak supaya pelaksanaannya dilakukan dengan segera dan menyeluruh.
“Kami menekankan keperluan untuk gencatan senjata kekal, penyampaian bantuan kemanusiaan yang segera, tanpa halangan, selamat dan berterusan kepada semua yang memerlukan.
“Ini termasuk melalui kesinambungan dan pengukuhan peranan serta mandat UNRWA — serta permulaan segera usaha pembinaan semula di Gaza bagi membantu membina semula kehidupan dan melindungi maruah rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Wisma Putra, Malaysia amat mengalu-alukan persetujuan yang dicapai antara Hamas dan Israel bagi fasa pertama “Pelan Komprehensif Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump untuk Menamatkan Konflik Gaza” yang diumumkan di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 8 Oktober 2025, dengan matlamat untuk mencapai pengakhiran kekal kepada permusuhan.
“Kami juga mengakui perkembangan itu menandakan satu langkah penting ke arah menamatkan konflik termasuk mencegah penderitaan dan kehilangan nyawa yang berterusan, pemindahan paksa penduduk, memastikan pembebasan semua tebusan dan tahanan, membolehkan pengunduran penuh pasukan Israel, menyokong pembinaan semula Gaza, serta merealisasikan hak penentuan nasib sendiri dan kenegaraan bagi rakyat Palestin,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















