TEHRAN – Hamas mendakwa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dipaksa untuk menerima syarat gerakan tersebut selepas kegagalannya untuk membebaskan warga Israel melalui kekerasan.
Kenyataan Hamas yang dipetik Palestinian Shahab News Agency menyatakan, rejim Israel dan tenteranya tidak dapat membebaskan tahanan mereka, walaupun selepas dua tahun perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Satu-satunya cara untuk mengembalikan tahanan tentera yang ditangkap ialah melalui pertukaran tahanan dan menamatkan perang,” kata Hamas.
Merujuk kepada pembebasan 20 warga Israel dalam rangka fasa pertama gencatan senjata dan pertukaran tahanan, Hamas menekankan komitmennya untuk memenuhi keperluan dan meminta pengantara untuk memaksa Israel melaksanakan perkara yang sewajarnya pada masa yang sama.
Hamas menambah, pembebasan tahanan Palestin, termasuk mereka yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan tempoh yang panjang, adalah hasil daripada keberanian dan ketabahan rakyat Palestin serta para pejuang.
Hamas juga menyatakan, rakyat Palestin telah menanggung pelbagai bentuk gangguan, penyeksaan, layanan buruk dan pembunuhan di penjara-penjara rejim Israel, sambil menambah, rejim zionis pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa tahanan Israel yang menjadi sasaran Netanyahu dan tenteranya.
Hamas menegaskan, isu tahanan akan kekal sebagai keutamaan nasional, dan rakyat Palestin tidak akan berhenti berjuang sehingga tahanan terakhir dibebaskan dari penjara Israel serta tanah air dan tempat suci mereka dibebaskan. – Agensi
















