KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad meneruskan komitmen terhadap pembangunan sosial dan kesihatan komuniti menerusi Program Pengurusan Kebersihan Haid (Menstrual Hygiene Management – MHM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang, Serian, Sarawak.
Pengarah Kewangan Sosial, Bank Islam, Mohd Zikri Mohd Shairy berkata, melalui Dana Sadaqa House Bank Islam, sebanyak RM37,500 telah disalurkan bagi menyediakan kit kebersihan haid boleh guna semula serta bahan pendidikan kesihatan reproduktif kepada pelajar yang terlibat.
Inisiatif berkenaan bertujuan menangani isu kemiskinan haid dan memperkasa pelajar perempuan luar bandar dengan pengetahuan asas tentang kitaran haid di samping membantu mereka mengatasi stigma sosial serta mengamalkan kebersihan diri yang lebih baik.
“Program itu melibatkan kerjasama strategik bersama Athena Holdings Sdn Bhd (Athena) itu memberi manfaat kepada lebih 250 pelajar perempuan berusia di antara 13 hingga 14 tahun di sekolah berkenaan.
“MHM merupakan kesinambungan usaha sama sulung antara Bank bersama Athena yang melibatkan 47 orang pelajar perempuan di Rumah Anak Yatim dan Miskin Kampung Silad, Ranau, Sabah pada tahun 2019.
“Program MHM bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai kesihatan reproduktif tetapi juga menggalakkan perbincangan terbuka dan mendidik mereka mengenai penggunaan produk pengurusan haid yang lebih lestari seperti tuala wanita yang boleh diguna semula,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Impak, Athena Holdings Sdn Bhd, Anja Juliah berkata, Program Pengurusan Kebersihan Haid itu bukan sekadar memberi ilmu tentang haid.
Jelasnya, ia turut membuka ruang kepada remaja perempuan untuk memahami tubuh mereka, menjaga maruah diri dan menjadi suara perubahan di komuniti masing-masing seterusnya percaya hanya melalui pendidikan mereka boleh pergi lebih jauh. – MalaysiaGazette
















