Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan RSN Rayer pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempelawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyertai blok kerajaan susulan tindakan penggantungan yang dikenakan terhadapnya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2026 oleh Wan Ahmad Fayhsal di Dewan Rakyat hari ini, Rayer kecewa dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu berkenaan.

Sedangkan, katanya, Wan Ahmad Fayhsal disifatkan sebagai seorang ahli Parlimen muda berbakat besar yang ketika berbahas sentiasa memberikan hujah-hujah bernas dan berasas.

“Apa sebabnya Yang Berhormat (Machang) kena gantung…dan dalam perbahasan hari ini tidak ada seorang pun ahli Parlimen Bersatu yang hadir dan mendengar perbahasan Machang tetapi saya hadir.

“Saya bukan mahu berlawak jenaka, ini serius…apakah ada sesuatu yang benar-benar berlaku yang tidak kena?

“Seorang ahli Parlimen yang berbakat, seorang yang muda dan dapat memberi nas-nas ketika berhujah berbanding pihak-pihak yang ada adegan video tapi tidak diambil tindakan pun.

“Saya nak tahu sebab saya rasakan tidak adil apa yang berlaku kepada Machang.

“Saya sokong Machang, kalau ada apa-apa perkembangan nanti (kes penggantungan) dijemput datang belah sini (blok kerajaan),” katanya.

Menjawab kepada pertanyaan Rayer itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau juga secara jujurnya tidak mengetahui sebab digantung daripada Bersatu.

“Itu kena tanya kepada Pagoh (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti kalau dia masuk (Dewan Rakyat),” katanya.

Berhubung pelawaan menyertai blok kerajaan, Wan Ahmad Fayhsal berterima kasih kepada Rayer atas jemputan namun menegaskan, komitmen beliau kepada Perikatan Nasional (PN); pengundi Machang dan rakyat Kelantan tidak berbelah bahagi.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal selain memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Turut berdepan tindakan pemecatan adalah empat Ketua Bahagian Bersatu iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Bagaimanapun, kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai ahli Parlimen tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast