Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, Lim Guan Eng `berurusan awal’ dengan pihak lain sehingga dua lot tanah di Bandar Tanjung Pinang `terlepas’ secara salah kepada seorang daripadanya menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menanggung kerugian.

Penguasa Kanan Zulhilmi Ramli, 33, berkata, kedua-dua pihak itu merupakan ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan Datuk Ewe Swee Kheng.

Nama Zarul Ahmad disebut dalam pertuduhan bahawa Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan selaku Ketua Menteri untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Mendiang Swee Kheng pula merupakan Pengarah Urusan Ewein Zenith Sdn Bhd (EZSB) yang kemudian membangunkan lot tanah itu menjadi projek mega dikenali sebagai City of Dreams.

“Jika tidak terdapat dealing awal di antara ketiga-tiganya, kedua-dua lot tanah itu tidak akan terlepas secara salah kepada Datuk Ewe manakala Kerajaan Pulau Pinang tidak akan mengalami kerugian,” ujar beliau.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memberi keterangan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri.

Saksi pendakwaan ke-38 itu selanjutnya berkata, berdasarkan siasatannya, mendiang Swee Kheng telah berjumpa Guan Eng pada tahun 2011 untuk bertanyakan mengenai tanah-tanah kerajaan yang boleh diteroka.

Ujarnya, tertuduh kemudian memaklumkan beliau akan mencari satu projek negeri yang mana cara pembayarannya kepada kontraktor boleh dibuat melalui pertukaran tanah.

“Apa yang perlu Swee Kheng lakukan adalah berurusan dengan kontraktor tersebut untuk menjual tanah pada syarikatnya. Siasatan mendapati CZCSB telah menjual tanah tersebut kepada kepada EZSB dengan harga jualan yang dipersetujui iaitu RM133 juta,” katanya dalam pernyataan saksi.

Zulhilmi turut berkata, pada 6 Oktober 2013, perjanjian awal untuk projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut ditandatangani antara kerajaan negeri yang diwakili Guan Eng dan Zarul Ahmad yang ketika itu Pengerusi Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).

Ujar saksi, dalam perjanjian awal, ia dimulakan dengan projek kajian kebolehlaksanaan bernilai RM305.88 juta dan sebagai bayaranya, sebahagian dari dua lot tanah iaitu lot 702 atau 713, Bandar Tanjung Pinang ditawarkan.

“Peringkat kajian pembinaan (FSS) untuk projek terowong langsung tidak disiapkan namun faktanya adalah syarikat Zarul Ahmad memang memperolehi Lot 702 dan 713,” ujarnya.

Menurut beliau, agak pelik mendiang Swee Kheng berani membuat bayaran seawal November 2013 kepada syarikat Zarul Ahmad meskipun tiada sebarang kepastian syarikat beliau akan mendapat lot tanah 702.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri menggunakan kedudukan beliau dan kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat miliknya dilantik untuk projek sama.

Kesalahan didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 dan 30 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast