Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes membabitkan remaja dan pelajar sekolah yang bertindak di luar kawalan termasuk kes tikam tragis melibatkan seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Petaling Jaya yang berlaku semalam.

Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Nur Assuha Asbar, 32, berkata, aspek disiplin dan nilai moral di sekolah perlu diberi perhatian semula bagi mengekang gejala sosial dalam kalangan pelajar.

Katanya, hukuman rotan juga wajar dipertimbangkan semula namun perlu dilaksanakan dengan berhemah sebagai langkah mendidik bukan mencederakan.

“Saya rasa hukuman rotan boleh dikembalikan tapi mestilah dilakukan dengan cara mendidik, bukan menghukum secara keterlaluan.

“Disiplin anak-anak sekarang semakin longgar. Bila tiada ketegasan dari awal, mereka jadi berani melawan dan akhirnya bertindak di luar batas.

“Semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat perlu memainkan peranan bersama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Nur Assuha, PIBG sering menerima aduan daripada guru yang berdepan cabaran mendidik pelajar tidak berdisiplin malah ada antara mereka berani meninggikan suara serta bertindak kasar terhadap rakan dan guru.

“Sekolah bukan sekadar tempat mengejar akademik. Ia juga medan membentuk sahsiah dan nilai moral. Pendidikan sivik dan kawalan emosi perlu diperkasakan semula supaya pelajar tahu menghormati orang lain dan berfikir sebelum bertindak,” jelasnya.

Dalam masa sama, ibu kepada pelajar tahun enam, Nur Surianna Mohd Samuri, 36, pula berpandangan, pengaruh rakan sebaya dan pendedahan tanpa kawalan terhadap media sosial menjadi antara punca anak-anak mudah terikut dengan perkara negatif.

“Anak zaman sekarang senang terpengaruh. Kadang-kadang apa yang mereka tengok di TikTok atau media sosial, mereka cuba tiru tanpa fikir kesannya.

“Ibu bapa kena lebih tegas bukan sekadar bagi telefon untuk elak anak bising. Kawalan dari rumah sangat penting, masa menggunakan telefon perlu dihadkan dan kita perlu tahu apa yang mereka tonton serta dengan siapa mereka bergaul,” ujarnya.

Nur Surianna turut menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan sikap anak-anak di rumah kerana banyak perkara boleh berlaku tanpa disedari.

“Kita tak boleh biar anak ‘hidup sendiri’ dengan telefon. Anak yang pendiam pun boleh terpengaruh sebab di media sosial semua benda nampak normal. Jadi ibu bapa kena selalu berbual, tanya apa yang mereka tengok dan kongsi nilai yang betul,” tambahnya.

Sementara itu, Nurmina Ismail, 54, ibu kepada pelajar tingkatan tiga pula berkata, didikan asas dan disiplin perlu bermula dari rumah, bukan diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Menurutnya, ibu bapa pada masa kini terlalu memanjakan anak hingga takut untuk menegur atau menghukum apabila mereka melakukan kesilapan.

“Zaman dulu kita takut dengan cikgu, sekarang cikgu pula takut dengan murid. Ibu bapa kena tunjuk contoh dan berani tegur anak bila mereka silap. Kalau tidak, anak akan hilang rasa hormat.

“Media sosial pun banyak beri pengaruh buruk. Kadang anak cepat marah, cepat memberontak sebab terlalu banyak terdedah pada kandungan yang tak sesuai. Kawalan di rumah perlu lebih ketat,” katanya.

Tambah Nurmina, sikap terlalu memberi kebebasan tanpa batasan menyebabkan anak-anak tidak tahu menghormati orang tua dan hilang kawalan diri apabila marah.

“Kasih sayang dan ketegasan perlu berjalan seiring. Kita bukan suruh pukul anak tapi teguran dan hukuman mendidik itu perlu ada. Jangan sampai anak lebih takut kawan daripada ibu bapa sendiri, itu yang bahaya,” katanya kesal.

Tragedi yang berlaku menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa peranan mendidik generasi muda tidak boleh lagi dipandang ringan.

Pengaruh gajet dan media sosial yang semakin kuat perlu diseimbangkan dengan nilai moral, perhatian serta komunikasi berterusan antara ibu bapa dan anak-anak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast