GELOMBANG influenza yang kini melanda Malaysia sangat membimbangkan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah berasrama. Ia menjadi tajuk utama, bukan kerana ia penyakit baharu, tetapi kerana penularannya sangat pantas, menjangkiti ribuan pelajar. Pihak pengurusan mengambil tindakan pencegahan dengan menutup banyak sekolah berasrama. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan mendadak kes influenza sejak bulan September tahun ini. Lebih 6,000 orang pelajar dilaporkan dijangkiti di seluruh negara.
Sumber rasmi KKM pada 14 Oktober 2025 melaporkan terdapat 97 kluster jangkitan berbanding 14 kluster pada minggu lepas. Sekolah berasrama, dengan persekitaran yang tertutup dan kepadatan pelajar yang tinggi, menjadi antara lokasi paling terkesan dengan wabak ini. Bagi ibu bapa, perasaan cemas bukan sekadar kerana anak mengalami gejala demam dan batuk. Perasaan ini datang bersama keresahan yang lebih mendalam, iaitu ketidakpastian.
Bilakah sekolah akan dibuka semula? Adakah anak saya perlu dihantar pulang? Mampukah mereka menyesuaikan diri dengan pembelajaran dari rumah (BDR) sekali lagi? Setelah bertahun-tahun hidup dalam bayangan pandemik COVID-19, wabak influenza ini terasa seperti ulangan bab lama yang belum sempat ditutup. Namun, di sebalik semua kekalutan, wabak ini sebenarnya membawa mesej penting yang harus diketengahkan. Ia bukan hanya tentang virus, tetapi tentang refleksi siapa kita sebagai
masyarakat yang berdepan krisis Kesihatan dan sejauh mana kita benar-benar belajar daripada pengalaman Covid-19 yang lalu.
Influenza selesema bermusim?
Masih ramai yang beranggapan bahawa influenza hanyalah selesema bermusim yang tidak begitu bahaya. Persepsi ini perlu diperbetulkan. Virus influenza boleh menyebabkan jangkitan paru-paru, keradangan otak, dan kematian, terutamanya dalam kalangan golongan rentan; kanak-kanak, warga emas, serta individu dengan penyakit kronik. Ia bukan ‘flu biasa’, dan ia tidak boleh dipandang ringan.
Lebih membimbangkan, pengambilan vaksin influenza masih belum menjadi amalan meluas di Malaysia. Di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, vaksin influenza dianggap sebahagian daripada tanggungjawab kesihatan awam. Berbeza dengan vaksin Covid-19, vaksin influenza perlu diambil setiap tahun kerana strain virus sentiasa berubah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memantau mutasi ini dan menyediakan formulasi terkini kepada pengeluar vaksin bagi memastikan perlindungan terhadap strain semasa.
Syukur, kerajaan kini telah mula memperkenalkan pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas yang mempunyai komorbiditi, satu langkah awal yang wajar diperluas kepada kumpulan berisiko lain. Namun, dalam kalangan masyarakat, pendekatan pencegahan masih banyak bergantung kepada amalan asas seperti pemakaian pelitup muka dan pengambilan suplemen.
Sudah tiba masanya kita memperkukuh langkah ini dengan strategi yang lebih menyeluruh, berterusan dan lestari. Seperti mana vaksin COVID-19 berjaya diterima sebagai norma baharu, pengambilan vaksin influenza juga wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada amalan kesihatan tahunan. Usaha pencegahan yang konsisten bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan, tetapi turut membantu mengelakkan gangguan pembelajaran di
sekolah serta melindungi golongan berisiko tinggi dalam komuniti.
Sekolah, asrama dan jurang pendidikan
Penutupan sementara sekolah berasrama bukan sahaja menjejaskan akademik, tetapi turut menimbulkan kesan sosial dan psikologi yang besar. Pelajar yang tinggal di asrama biasanya datang dari pelbagai negeri. Penutupan mendadak memberi kesan terhadap logistik, pengurusan ibu bapa, serta motivasi pelajar. Pembelajaran dari rumah (BDR) bukan penyelesaian mutlak. Tidak semua pelajar mempunyai capaian internet yang stabil, ruang belajar yang kondusif, atau bimbingan berterusan. Kita harus sedar bahawa setiap kali sekolah ditutup, jurang pembelajaran semakin melebar antara pelajar di bandar dan luar bandar.
Wabak ini seharusya menjadi pemangkin untuk kita menilai semula apa yang dimaksudkan dengan “sekolah sihat”. Kesihatan bukan sekadar tidak berpenyakit, ia tentang keseimbangan antara fizikal, mental, dan sosial. Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita menekankan aspek kesihatan awam sebagai komponen penting dalam budaya sekolah, bukan hanya semasa krisis. Saringan kesihatan berkala, kebersihan asrama, pengudaraan baik, dan kesedaran kebersihan diri pelajar perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan.
Budaya sihat, jadikan rutin, bukan tindakan sementara
Di negara-negara seperti Jepun dan Taiwan, memakai pelitup muka apabila bergejala dianggap sebagai tanda hormat kepada orang sekeliling. Di negara kita, amalan sebegini seharusnya menjadi cerminan nilai ihsan dan empati, dua prinsip penting dalam budaya, adat resam dan agama kita. Namun untuk mencapai tahap itu, amalan kesihatan perlu dilatih, dibiasakan, dan ditanam sebagai budaya rutin, bukan hanya dilakukan ketika wabak melanda. Amalan mencuci tangan dengan sabun sebelum makan, selepas menggunakan tandas, atau selepas menyentuh permukaan awam perlu menjadi refleks semula jadi, sama seperti menutup pintu atau
mengucap salam.
Sekolah dan tempat kerja boleh membantu dengan menyediakan kemudahan mencukupi serta mempamerkan peringatan visual yang mesra dan konsisten. Menutup mulut dan hidung dengan tisu atau siku ketika batuk dan bersin pula melambangkan rasa hormat terhadap keselesaan dan keselamatan orang lain. Latihan ini wajar diterapkan
sejak awal usia, bukan sekadar sebagai arahan kesihatan tetapi sebagai tanda sopan santun dan prihatin. Pemakaian pelitup muka juga perlu dilihat bukan semata-mata sebagai perlindungan peribadi, tetapi simbol komunikasi sosial; tanda bahawa kita menjaga orang lain sebagaimana kita menjaga diri sendiri. Apabila masyarakat mula melihatnya sebagai amalan ihsan, bukan sekatan, ia akan menjadi sebahagian daripada norma sosial yang diterima dan dihormati.
Untuk membudayakan kesihatan, kita perlu mengubahnya daripada pesanan kesihatan menjadi gaya hidup sosial. Peranan ini bukan hanya milik kerajaan atau sekolah, tetapi juga keluarga dan komuniti. Setiap rumah, pejabat dan sekolah boleh menjadi ruang latihan kecil untuk membentuk budaya sihat. Di sini nilai-nilai kebersihan, empati dan rasa tanggungjawab dibentuk untuk menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat kita. Budaya sihat bermula dengan perubahan sikap, dan perubahan sikap bermula daripada diri kita sendiri.
Influenza ujian empati dan disiplin sosial
COVID-19 pernah mengajar kita erti solidariti dan kepatuhan terhadap SOP. Namun, apabila keadaan kembali ‘normal’, kesedaran itu kian pudar. Influenza kini menguji sama ada kita benar-benar matang sebagai masyarakat yang pernah melalui situasi pandemik. Apabila seorang pelajar jatuh sakit, ia bukan hanya tanggungjawab sekolah untuk bertindak. Ia tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak tidak dihantar ke sekolah dalam keadaan tidak sihat.’
Selain itu, tanggungjawab komuniti adalah untuk menjaga kebersihan persekitaran. Media pula melakukan tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang tepat, bukan
menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat. Secara amnya, adalah tanggungjawab kita semua untuk menjadikan pencegahan sebagai amalan, bukan tindakan sementara.
Wabak sebagai titik perubahan
Setiap krisis kesihatan membuka peluang untuk memperbaiki sistem. Malaysia mempunyai tenaga pakar, makmal berkeupayaan tinggi dan masyarakat yang prihatin. Namun, semua ini hanya bermakna jika digerakkan secara bersepadu. Sektor pendidikan perlu bekerjasama rapat dengan sektor kesihatan untuk melaksanakan pemantauan wabak di sekolah, latihan kepada guru tentang pengurusan kesihatan pelajar, dan garis panduan yang lebih jelas bagi pencegahan jangkitan.
Kesedaran awam perlu dibina bukan melalui slogan sementara, tetapi melalui budaya kesihatan yang lestari. Kesihatan awam tidak bermula di hospital, tetapi di
rumah, di sekolah dan dalam komuniti. Wabak influenza ini bukan sekadar serangan terhadap sistem pernafasan kita, tetapi ujian terhadap sistem kemanusiaan dan disiplin sosial kita. Jika kita gagal belajar daripada pengalaman lalu, sejarah akan berulang, bukan kerana virus semakin kuat, tetapi kerana kita
semakin leka.

Prof. Dr. Nurul Azmawati Mohamed
Profesor Perubatan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia

Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Profesor Madya Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia
















