Amirul Syahir.

ALOR SETAR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyokong penuh cadangan kuasa merotan dikembalikan semula kepada guru sekolah sebagai usaha memperkukuh disiplin serta membentuk sahsiah pelajar yang berakhlak dan berdisiplin tinggi.

Timbalan Pengerusi GPMS Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, sudah tiba masa masyarakat memberi kepercayaan penuh kepada institusi perguruan dalam mendidik generasi muda termasuk aspek penguatkuasaan disiplin secara berhemah dan bertanggungjawab.

“Rotan bukan alat untuk menyakiti sebaliknya simbol ketegasan dalam mendidik. Guru-guru dahulu bukan sekadar mengajar malah membentuk peribadi dan moral pelajar melalui disiplin yang berlandaskan nilai kasih sayang.

“Kelemahan sistem disiplin pelajar masa kini berpunca daripada keterbatasan kuasa guru untuk mengambil tindakan terhadap salah laku yang semakin mencabar, selain pengaruh negatif luar yang memberi impak terhadap tingkah laku pelajar.

“Pengembalian kuasa merotan dilihat sebagai langkah wajar dan tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut,  Amirul Syahir turut mencadangkan  Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan garis panduan operasi (SOP) yang jelas dan terperinci bagi memastikan pelaksanaan kuasa merotan dijalankan secara bertanggungjawab, berteraskan prinsip mendidik dan bukan menghukum secara melampau.

“Selain itu latihan dan kursus pengendalian disiplin juga perlu diberikan kepada guru supaya pelaksanaan hukuman fizikal ringan ini tidak disalahgunakan atau disalah tafsir.

“Tindakan merotan perlu dilindungi di bawah akta pendidikan sedia ada dan diperkukuhkan supaya guru yang mengambil tindakan tersebut mendapat perlindungan undang-undang. Namun, kebajikan pelajar juga mesti diberi perhatian sewajarnya.

“Isu disiplin bukan sahaja tanggungjawab sekolah, tetapi memerlukan penglibatan aktif ibu bapa dan masyarakat dalam usaha membentuk pelajar yang berdisiplin dan menghormati guru,” katanya.

Tambah Amirul Syahir, pihaknya yakin jika guru diberi kuasa sewajarnya, sistem pendidikan negara akan kembali kukuh dan mampu melahirkan generasi pelajar yang berilmu, beradab serta menghargai nilai disiplin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast