Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meminta siasatan menyeluruh dilakukan terhadap satu program pelaburan Forex dan mata wang kripto yang dipercayai menipu lebih 200 pelabur tempatan.

Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM83 juta, kata Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Menurut beliau, aduan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada 209 mangsa yang mendakwa diperdaya oleh seorang lelaki warganegara Malaysia yang menawarkan program pelaburan tidak berlesen melalui platform digital.

“Jumlah kerugian keseluruhan yang dilaporkan oleh mangsa dianggarkan sekitar RM83 juta atau bersamaan USD18.9 juta. Ramai antara mereka telah membuat laporan polis namun dimaklumkan bahawa kes diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Hishamuddin, hasil maklum balas yang diterima daripada beberapa mangsa menunjukkan pihak polis memaklumkan bahawa kes tersebut boleh disiasat oleh BNM di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) khususnya Seksyen 137 yang melarang individu atau syarikat menjalankan aktiviti kewangan tanpa lesen sah.

“Serahan rasmi kepada BNM hari ini bertujuan memohon agar satu siasatan yang menyeluruh dapat dijalankan terhadap program pelaburan yang disyaki tidak sah dan tidak berdaftar ini. Kami berharap tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kewangan negara,” jelas beliau.

Hishamuddin berkata, tindakan itu penting bagi melindungi kepentingan awam serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kewangan negara yang telah tercalar akibat kegiatan pelaburan tidak berlesen.

“Mangsa-mangsa amat berharap pihak BNM memberi perhatian serius terhadap kes ini. Selain menuntut keadilan, mereka juga mahu ia dijadikan pengajaran agar pihak lain tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti pelaburan haram,” katanya.

Beliau menegaskan, MHO akan terus membantu mangsa-mangsa penipuan kewangan mendapatkan keadilan melalui saluran undang-undang yang betul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast