CAMERON HIGHLANDS– Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki warga Myanmar maut dibunuh yang dipercayai telah ditikam dalam satu kejadian di Taman Oriental Lily, Tringkap di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, mangsa berusia 50 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di lokasi kejadian manakala isteri mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Pada 13 Oktober lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands telah menerima satu maklumat berkenaan kes bunuh pukul 11.54 malam.
“Bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), IPD Cameron Highlands telah berjaya menahan dua lelaki warganegara Myanmar yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Tangkapan dilakukan pada 14 Oktober lalu lebih kurang pukul 12.05 pagi di kawasan kejadian yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Polis juga merampas sebilah pisau sepanjang 13 sentimeter (cm) (mata pisau 11 cm), sebatang besi beroda berukuran 57 cm berwarna hitam dan sebelah pisau berhulu plastik sepanjang 28 cm di lokasi kejadian.
Sebelum itu, hasil siasatan awal oleh pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak mendapati terdapat beberapa kesan luka akibat objek tajam pada tubuh mangsa antaranya di bahagian leher, kepala, dagu, pipi kanan dan bawah telinga kanan.
Hasil pemeriksaan di bahagian perut pula terdapat kesan hirisan sepanjang lima cm yang menyebabkan usus mangsa terkeluar.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Tanah Rata di sini dan disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat telah dijalankan petang semalam di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian leher yang menyebabkan arteri karotid terputus,” katanya.
Kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pihak polis ingin menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini.
Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan Daerah IPD Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette
















