Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi Bulan Oktober di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 OKTOBER 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Khazanah Nasional Berhad melabur RM600 juta bagi kerja-kerja baik pulih dan pemuliharaan Carcosa Seri Negara.

Tegasnya, keputusan tersebut adalah satu langkah pelaburan strategik dalam memelihara sejarah dan warisan negara, bukannya bersifat kebajikan.

Menurut beliau, pemuliharaan Carcosa Seri Negara juga bukanlah soal bermewah atau pembaziran tetapi satu tanggungjawab sosial syarikat milik negara untuk memastikan bangunan bersejarah itu kekal sebagai simbol kemerdekaan dan menjadi kebanggaan serta identiti Malaysia.

Selain itu, Carcosa Seri Negara yang bakal berwajah baharu juga akan menarik perhatian pelancong di samping meningkatkan nilai di kawasan sekitarnya.

“Dulu, Carcosa itu simbol kemegahan penjajah Inggeris. Saya masih ingat, semasa muda dan di universiti, saya bantah keras penyerahan itu kepada Inggeris. Akhirnya mereka setuju serahkan dengan tanah gantian. Itu simbol kebanggaan negara.

“(Akan datang) Setiap bilik di Carcosa Seri Negara akan mempamerkan kekuatan budaya kita, segala suku kaum, hasil-hasil dalam negeri dan sejarah negara.

“Ini juga satu tarikan kepada pelancong,” katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri turt menjelaskan bahawa pelaburan tersebut meliputi bukan sahaja Carcosa Seri Negara tetapi juga kawasan sekitarnya seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Padang Merdeka, yang akan dibangunkan sebagai taman warisan dengan mengekalkan keaslian budaya dan sejarah.

“Kita mahu bandar raya ini dikenali sebagai kota moden teknologinya tetapi tetap segar dengan budaya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, kerajaan akan memastikan projek itu dipantau rapi dengan menyeimbangkan antara elemen komersial, pelaburan dan keindahan seni bina bagi memperkukuh daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Isnin lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoal langkah kerajaan mengumumkan pelaburan untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.

Dalam laporan media, Hamzah menyifatkan langkah itu ‘melencong’ daripada tujuan dan peranan sebenar penubuhan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang sepatutnya mengukuhkan daya tahan ekonomi serta menjana pulangan jangka panjang untuk rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast