KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengumumkan calon pilihan raya lebih awal bagi mengurangkan kesan sabotaj dalaman daripada kumpulan yang tidak bersetuju, demikian menurut Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
Beliau berkata, pengumuman yang biasa dilakukan beberapa hari akan memberi risiko kepada calon berkenaan.
“Tempoh kempen dua minggu terpaksa dihabiskan dengan pujuk memujuk kepada mereka yang tidak dicalonkan. Veteran juga berharap lebih ramai muka-muka baru dalam kalangan agamawan dan profesional yang menepati kriteria WALI iaitu winnability (boleh menang), acceptibility (kebolehterimaan) dan likeability (disenangi).
“Semua itu harus dikenal pasti daripada sekarang. Ini penting kerana pengundi mahukan perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mustapha berkata, UMNO perlu mengubah strategi bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat sebagai sebuah parti dan progresif dan dinamik.
“Kami berharap kepimpinan sedia ada di semua peringkat dapat menerima kenyataan pengundi mahukan perubahan.
“Mereka mahu UMNO terus relevan dan tidak mahu parti ini menjadi harta pusaka yang hanya boleh difaraid dan diwarisi dalam keluarga.
“UMNO adalah hak 3.6 juta ahlinya dan semua perlu berlapang dada dan berjiwa besar menerima realiti itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Veteran UMNO menyambut baik pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah memuktamadkan nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai calon Parlimen Gerik untuk Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Kami berharap ketetapan yang sama dapat dilakukan bagi kawasan Parlimen lain lebih awal. Langkah itu bertujuan untuk mendedahkan bakal calon kepada pengundi dan memberi mereka masa yang cukup untuk turun padang bekerja,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan nama Asyraf Wajdi bersama-sama Ahli Undangan Negeri Temenggor, Datuk Salbiah Mohamed yang akan mempertahankan kerusi sama.
Ahmad Zahid turut menggesa penduduk Gerik agar menerima Asyraf Wajdi sebagai calon dengan menyifatkan beliau mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan kepada kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette















