Haslinda Salleh

SEGAMAT – Peranan membentuk murid bermula di bangku sekolah tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh berkata, sebaliknya tanggungjawab itu perlu melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan kepimpinan setempat.

Katanya, budaya, amalan, nilai murni dan persekitaran sekolah yang selamat serta kondusif perlu dihidupkan semula seperti pernah diterapkan satu ketika dahulu.

“Masyarakat perlu kembali kepada asas kasih sayang dan disiplin dengan memberi ruang kepada guru untuk mendidik dengan tegas namun berhemah.

“Ibu bapa pula perlu lebih peka terhadap perubahan anak-anak di rumah dengan memberikan banyak bimbingan, kaunseling dan sokongan emosi untuk anak-anak yang sedang tercari-cari arah kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau amat sedih dan terkesan dengan kejadian melibatkan pelajar sekolah baru-baru ini yang sama sekali mengejutkan.

“Anak yang sepatutnya membesar dengan harapan dan kasih sayang, akhirnya menjadi mangsa kepada keganasan dan kehilangan nilai kemanusiaan hanya kerana sesuatu keinginan tidak dipenuhi,” katanya.

Haslinda juga menyarankan komuniti setempat dan pihak berkuasa sentiasa bekerjasama memastikan keselamatan kawasan sekolah sentiasa terpelihara agar selamat, tidak bimbang atau merasa takut.

Ujarnya, beberapa kejadian kebelakangan ini mengingatkan bahawa tanggungjawab membentuk anak-anak bukan terletak di bahu sekolah semata-mata tetapi ibu bapa, guru, komuniti dan pemimpin perlu memainkan peranan.

“Mendidik itu tanggungjawab bersama, bukan tugas sekolah semata-mata,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast