KUALA LUMPUR – Pertubuhan Perkhidmatan E-Hailing dan Penghantaran Malaysia (MEDO) mendakwa hanya satu perempat daripada kira-kira 200,000 pemandu aktif e-hailing dan p-hailing yang menerima manfaat tambahan 600 liter petrol bersubsidi di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Presidennya, Masrizal Mahidin berkata, ia berikutan syarat-syarat teknikal yang terlalu ketat dan tidak mengambil kira variasi model operasi sebenar yang dikenakan Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Antaranya, kata beliau, data kilometer yang direkod oleh platform operator e-hailing tidak mencerminkan jumlah jarak sebenar yang dilalui pemandu.
“MEDO berpandangan bahawa kelemahan dalam penyelarasan data dan metodologi pengiraan APAD bersama platform e-hailing menjadi punca utama berlakunya penyisihan yang tidak adil ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Masrizal menyeru kerajaan supaya melaksanakan pendekatan “soft landing” dalam menambah baik pelaksanaan BUDI95 supaya tidak menjejaskan moral dan kepercayaan komuniti pemandu.
Kata beliau, dasar itu perlu dilaksanakan semula secara berperingkat dengan penilaian kelayakan berdasarkan tempoh aktif dan purata trip bulanan, bukan semata-mata jumlah kilometer.
Selain itu, menurutnya, kerajaan juga perlu memperkenalkan tempoh penyesuaian (grace period) sekurang-kurangnya tiga bulan, bagi membolehkan data sebenar dikumpul dan disemak semula.
“Kerjasama langsung antara MOF, APAD dan organisasi komuniti pemandu seperti MEDO juga perlu diadakan bagi memastikan suara lapangan diambil kira sebelum dasar dimuktamadkan,” katanya.
Dalam masa sama, Masrizal turut menggesa supaya pelaksanaan struktur tambang berbeza bagi warganegara dan bukan warganegara diperkenalkan, bagi mengelakkan ketirisan subsidi petrol RON95.
Jelas beliau, pendekatan itu boleh dilaksanakan melalui pendaftaran aplikasi menggunakan nombor kad pengenalan dan pasport, bukan hanya nombor telefon seperti sistem semasa.
Tambahnya, kegagalan kerajaan memahami hakikat operasi e-hailing yang berasaskan “on-demand mobility” boleh menghakis kepercayaan ribuan pemandu yang setiap hari menyumbang kepada nadi pengangkutan rakyat.
Tegas beliau, kumpulan pemandu e-hailing bukan sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi juga merupakan tenaga penggerak ekonomi mikro bandar dan luar bandar.
“Kerajaan harus melihat isu ini bukan dari lensa angka dan algoritma semata-mata, tetapi dari sudut keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi rakyat di lapangan.
“Pendekatan lebih berhikmah, inklusif dan berasaskan realiti kerja sebenar akan menjadi asas kepada kelestarian sistem subsidi dan kestabilan sektor gig nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















