Penguat Kuasa JIM melakukan serbuan di tiga premis urut dan refleksologi di Pontian kelmarin.

PONTIAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur tiga premis urut dan refleksologi di daerah ini serta menahan 15 warga asing dalam serbuan kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Gegar Pontian pada pukul 7 malam itu turut menahan dua warga tempatan yang dipercayai menjadi penjaga dan pengurus premis.

“Operasi ini adalah hasil risikan berterusan dan maklumat awam selepas mendapat maklumat ada majikan menggajikan warga asing tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada dua lelaki Myanmar, seorang wanita Indonesia, tiga wanita Laos, tiga wanita Myanmar dan enam wanita Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 56 tahun disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan masuk tanpa permit sah.

Sementara itu, dua warga tempatan itu katanya, disiasat kerana melindungi pendatang asing tanpa izin(PATI).

“Semua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut manakala enam borang saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan,” ujarnya.

Mohd Rusdi menegaskan, serbuan berkenaan membuktikan JIM Johor serius membanteras penyalahgunaan pas lawatan dan kegiatan tidak bermoral.

“JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap majikan dan pemilik premis yang melanggar undang-undang serta akan terus memburu PATI,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast