KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) anak Zarina Zainuddin telah dikeluarkan hari ini selepas pelakon tersebut menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada jabatan itu, semalam.
JKM yang tampil menjawab rungutan artis tersebut menjelaskan, semakan jabatan tersebut mendapati tiada maklumat pengesahan pegawai perubatan direkodkan dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi anak-anak beliau.
Sehubungan itu, petugas JKM telah memberikan penerangan lanjut kepada pelakon tersebut di samping menyerahkan Borang BPPOKU (Pindaan 2019) untuk diisi dan menandakan bahagian berkaitan bagi memudahkan rujukan beliau.
Zarina juga disarankan untuk membuat laporan polis sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang kemungkinan penyalahgunaan kad.
Selain itu, menurut JKM, Zarina turut menyerahkan satu lagi kad OKU milik anak kembarnya bagi tujuan penggantian kad rosak.
Hasil semakan menunjukkan situasi yang sama iaitu tiada pengesahan perubatan dalam sistem dan maklumat tersebut belum pernah dikemaskini.
Menurut JKM, Zarina telah dimaklumkan bahawa penggantian kad baharu (kad QR) hanya boleh dilaksanakan setelah laporan perubatan atau makluman pengesahan terkini dikemukakan.
“Ini adalah kerana, sistem SMOKU yang diperkenalkan pada tahun 2011 telah melalui beberapa fasa menaik taraf dengan penambahan subkategori OKU serta pengenalan kad OKU baharu berteknologi QR.
“Oleh itu, klien telah disarankan untuk melakukan pengesahan semula oleh pegawai perubatan bagi membolehkan pengemaskinian data dibuat dalam sistem serta membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan dan perlindungan data peribadi,” kata JKM dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil daripada tindakan susulan dan khidmat nasihat yang diberikan, klien telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada JKM pada 15 Oktober 2025.
Terdahulu, Zarina meluahkan kekecewaannya di Instagram dengan mendakwa ‘ditendang’ ke sana sini seperti bola sewaktu menggantikkan kad OKU anaknya, Azal Azrai yang hilang.
Katanya, beliau telah membuat laporan di JKM mengenai hal itu namun diminta untuk membuat laporan polis atas alasan tiada rekod dalam sistem jabatan tersebut.
Menurut Zarina, kad OKU Azal tercicir dan dikeluarkan pada 2012.
Sementara itu, JKM sentiasa komited untuk memastikan setiap urusan berkaitan pendaftaran, pengemaskinian dan penggantian kad OKU dilaksanakan secara tertib, telus dan berpandukan prosedur operasi standard (SOP).
JKM juga menyarankan agar klien sentiasa mengemaskini maklumat peribadi dan laporan perubatan bagi memastikan data dalam sistem SMOKU kekal tepat dan terkini. -MalaysiaGazette
















