KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang mengeluarkan sebanyak 370 notis pelbagai kesalahan lalu-lintas dalam Op Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bentong malam tadi.
Selain itu, JPJ Negeri Pahang berkata, sebanyak enam buah kenderaan pelbagai jenis telah disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersempena sambutan perayaan Deepavali tahun 2025 itu.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 22 saman PDRM (A) 257 telah dikeluarkan. Operasi juga telah berjaya menahan seorang lelaki kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Manakala seramai 19 warganegara asing turut ditahan pihak imigresen atas kesalahan tinggal lebih masa dan gagal menunjukkan pas dokumen yang sah,” katanya menerusi satu hantaran hari ini.

Gambar : JPJ Negeri Pahang
Turut hadir dalam operasi malam tadi adalah Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khairuanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Jelasnya, operasi bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dan orang ramai mengenai kesalahan lalu-lintas serta tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan etika yang baik dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. – MalaysiaGazette
















