KUALA LUMPUR – Pasukan khas akan ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi menangani pengedaran dadah menerusi cara kiriman dan penghantaran bungkusan.

Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan tersebut akan diwujudkan dalam masa terdekat kerana pihaknya percaya banyak pengedaran dadah dilakukan melalui cara yang terlepas berpunca daripada pemantauan yang lemah.

“Kita percaya dadah-dadah dibawa masuk dan dibawa keluar melalui saluran ini, yang kurang pemantauan atau tapisan. Pihak penyedia perkhidmatan ini, perlu ada mekanisme pemantauan dalaman supaya tidak terlepas dadah dengan cara ini.

“(Jadi) PDRM akan buat satu pasukan khas, khusus untuk ini sahaja,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Menurutnya, JSJN akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam dalam menubuhkan pasukan berkenaan.

Selain itu Hussein berkata, JSJN juga akan menggiatkan perobohan jeti-jeti haram di Kelantan khususnya supaya sindiket dadah tidak dapat bergerak bebas melalui jalan-jalan tikus.

“Polis juga akan ketatkan macam di Kelantan kita akan robohkan jeti-jeti haram untuk menyukarkan pergerakan negara luar ke negara kita secara haram.Kita juga ketatkan risikan melalui penggunaan teknologi yang boleh membantu,” katanya.

Tambah beliau, melumpuhkan kewangan sindiket-sindiket juga perlu dilakukan meskipun sukar sebagai salah satu cara memastikan pengedaran dadah dalam negara tidak muncul semula meskipun diberkas beberapa kali.

“Yang ini agak sukar untuk mengesan aliran kewangan mereka sebab melibatkan jumlah yang besar. Selagi kita tidak lumpuhkan kewangannya, sindiket dadah akan sentiasa wujud,” katanya.

Terdahalu katanya, kebanyakan sindiket dadah yang diberkas adalah daripada Pantai Timur, namun ia berubah berdasarkan penguatkuasaan pihak polis.

“Tapi sekarang bila kita tingkatkan serbuan di sana di sebelah utara pula bertambah. Sindiket ini juga berubah-ubah melihat semua ruang kalau leka sedikit mereka akan gunakan semua ruang. Bila ketatkan pemantauan di jalan darat mereka bergerak melalui laut pula,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast