JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh lepas tangan dalam kes buli, rogol dan bunuh yang terjadi ketika ini di sekolah.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, sebaliknya KPM mesti bertindak pantas dan tegas untuk memastikan sekolah kembali menjadi tempat paling selamat.
Katanya, alasan Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Juwairiya Zulkifli, menteri tidak berada di setiap sekolah untuk memantau pelajar secara langsung tidak boleh diterima.
Menurutnya, alasan Juwairiya itu adalah tidak tepat dan seolah-olah cuba mengalihkan tanggungjawab moral serta pentadbiran KPM.
“Memang benar, seorang menteri tidak berada di setiap sekolah untuk memantau pelajar secara langsung. Namun, tanggungjawab utama seorang menteri adalah memastikan sistem pendidikan negara dilindungi oleh dasar, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang mantap bagi mencegah kejadian seumpama itu.
“Apabila berlaku insiden tragik di bawah bidang kuasa kementerian, persoalan asasnya ialah adakah sistem sedia ada cukup kuat untuk mencegahnya? Jika tidak, maka tanggungjawab itu berpunca daripada kelemahan dasar dan pelaksanaan di bawah kementerian sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini Juwairiya dilaporkan berkata, adalah tidak adil untuk menyalahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas semua musibah mahu pun kejadian malang yang berlaku di dalam premis sekolah sejak kebelakangan ini termasuk kes bunuh kelmarin.
Juwairiya berkata, memang pada dasarnya tugas menteri pendidikan adalah merangka dasar, polisi dan undang-undang berkaitan bagi semua perkara dibawah bidang kuasanya.
Namun, ujar beliau, musibah dan kemalangan boleh berlaku di mana-mana, justeru mencetuskan persoalan adakah wajar menteri, guru dan ibu bapa dipersalahkan.
Mengulas lanjut, Ahmad Solehin berkata, menteri bukan sekadar pembuat dasar di atas kertas tetapi mesti memastikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru besar dan pengetua benar-benar melaksanakan pengawasan serta pemantauan keselamatan pelajar dengan berkesan.
“Kejadian buli, rogol mahupun pembunuhan di kawasan sekolah jelas menunjukkan wujud kelemahan sistemik. Ia perlu ditangani melalui reformasi menyeluruh terhadap dasar keselamatan, pendidikan moral dan pemantapan aspek psikologi pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, menteri bukan hanya bertanggungjawab mentadbir tetapi memikul amanah dan akauntabiliti terhadap sebarang kegagalan sistem di bawah kementeriannya.
Tegasnya, menyalahkan guru, sekolah atau masyarakat tanpa menilai keberkesanan dasar kementerian adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab politik dan moral.
“Menteri tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, beliau mesti menjadi peneraju reformasi,” ujarnya yang juga seorang peguam.
Ahmad Solehin berkata, Menteri Pendidikan adalah penjaga masa depan generasi muda maka, setiap dasar, SOP dan tindakan mesti berpaksikan keselamatan, disiplin dan kesejahteraan pelajar.
Beliau menambah, tragedi di sekolah bukan isu terpencil dan itu adalah amaran bahawa sistem perlu diperbaiki segera.- MalaysiaGazette
















