Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memperuntukkan RM2 bilion untuk Dana Iklim+ bertujuan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah sifar bersih (Net Zero).

Dana Iklim+ akan menyalurkan modal institusi kepada pelaburan berfokuskan iklim dalam bidang infrastruktur, ekuiti persendirian, hartanah, dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Dana tersebut bukan sahaja menyasarkan pulangan kewangan yang mampan tetapi juga hasil alam sekitar yang dapat diukur, seiring usaha negara membina ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Pelancaran rasmi Dana Iklim+ disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (pemangku), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sempena Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) 2025, hari ini.

Inisiatif tersebut melambangkan komitmen jangka panjang KWAP untuk mencapai portfolio pelaburan sifar bersih menjelang 2050, di samping memperluas peranan agensi itu sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pelaburan berasaskan iklim yang memberi nilai berkekalan kepada Malaysia.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin, berkata pelancaran Dana Iklim+ mencerminkan kesungguhan KWAP dalam menyelaraskan strategi pelaburan dengan matlamat iklim jangka panjang negara.

“Sebagai pelabur institusi yang bertanggungjawab, KWAP mengambil langkah besar dalam mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim.

Dana Iklim+ adalah sebahagian penting daripada usaha ini dan membuktikan bagaimana modal institusi boleh digerakkan untuk menjana impak alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Hazman turut menambah bahawa dana ini disokong oleh rangka kerja pengukuran impak KWAP, yang menilai hasil pelaburan merentasi enam dimensi termasuk penjajaran nasional, daya tahan iklim dan penunjuk manfaat bersama (co-benefits) yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Simbol “+” dalam Dana Iklim+ mewakili elemen manfaat bersama ini – yang mampu memberi kesan berlipat ganda melalui pelaburan berasaskan iklim – dengan menekankan bahawa strategi iklim yang berwibawa juga mesti menangani matlamat pembangunan lain seperti sekitaran makanan, air bersih, akses tenaga dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

“Dana Iklim+ menyasarkan untuk mengurangkan sehingga satu juta metrik tan CO₂e melalui pelaburan sejajar iklim. Inisiatif ini memperkukuh peranan KWAP sebagai pelabur institusi yang bertanggungjawab dan komited terhadap usaha menanam prinsip kelestarian dalam ekosistem kewangan Malaysia,” jelas Hazman.

Sebagai program pelaburan pemangkin ketiga KWAP selepas Dana Pemacu dan Dana Perintis, Dana Iklim+ meneruskan usaha memperkukuh pasaran swasta Malaysia dan ekosistem pelaburan negara melalui strategi pelaburan yang memberi tumpuan khusus kepada impak iklim.

Dana ini turut diselaraskan dengan pelbagai rangka kerja nasional utama termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Ekonomi MADANI, dan inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan, yang kesemuanya bertujuan mempercepatkan penyertaan pasaran swasta, menggalakkan pertumbuhan mampan, serta menjadikan Malaysia peneraju pelaburan hijau serantau.

Pelancaran Dana Iklim+ mengukuhkan kedudukan KWAP sebagai peneraju dalam usaha negara mencapai aspirasi iklim di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekaligus memacu transformasi ke arah masa depan rendah karbon yang lebih lestari. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast