Gambar hiasan oleh MUHAIMIN MARWAN

 

Oleh: Rozita binti Alias @ Abdul Latiff

ADAB mendahului ilmu.” Ungkapan ringkas ini mengandungi makna yang begitu mendalam. Namun, dalam arus kemajuan teknologi dan dunia digital masa kini, makna di sebaliknya kian pudar. Nilai adab yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang pembentukan insan dan peradaban bangsa, kini semakin terhakis.

Fenomena buli, penghinaan di media sosial, serta sikap tidak hormat antara pelajar semakin membimbangkan. Ia bukan sekadar masalah disiplin, tetapi cerminan kepada keruntuhan nilai murni dan kehilangan budi pekerti dalam kalangan generasi muda.

Buli cerminan hilangnya adab
Buli bukan hanya bermaksud kekerasan fizikal semata-mata. Ia boleh hadir dalam pelbagai bentuk ejekan, pengasingan sosial, penyebaran aib di media sosial, malah tekanan emosi yang berpanjangan.

Punca kepada semua ini bukan sekadar kelemahan kawalan disiplin, tetapi berpunca daripada kehilangan adab dan empati. Pelajar yang beradab tahu menghormati orang lain serta sedar bahawa setiap manusia mempunyai maruah yang wajib dijaga.

Namun apabila adab mula terhakis, sifat belas ihsan turut terpadam. Lebih menyedihkan apabila insiden buli dirakam dan disebar untuk tontonan umum, seolah-olah penderitaan orang lain menjadi bahan hiburan.

Cabaran pendidikan masa kini
Sistem pendidikan hari ini lebih menekankan pencapaian akademik berbanding pembentukan peribadi. Soalnya, sejauh mana aspek nilai dan karakter diberi perhatian
dalam membentuk insan yang seimbang?

Guru kini berdepan cabaran luar biasa mendidik bukan sahaja tentang ilmu dan kemahiran, tetapi juga menanam budi pekerti dalam dunia yang dikelilingi budaya “viral” dan “like”.

Pendidikan tanpa adab hanya akan melahirkan generasi cerdik pandai yang kosong jiwa. Di sinilah peranan sekolah, universiti, ibu bapa dan masyarakat untuk mengembalikan roh pendidikan yang sebenar. Adab tidak boleh diajar dengan kata-kata semata-mata, tetapi mesti diterjemah melalui teladan.

Budaya digital dan normalisasi kekasaran
Di alam maya, kata-kata mampu menjadi senjata yang melukakan. Ruang siber yang sepatutnya menjadi wadah ilmu dan perkongsian positif kini sering disalahguna untuk
menjatuhkan, menghina dan membuli.

Lebih membimbangkan, ramai remaja menganggap perbuatan mengejek atau mempermainkan orang lain secara dalam talian sebagai “gurauan”. Inilah tanda jelas
bahawa budaya kasar telah dinormalisasikan.

Kita sering lupa bahawa adab juga perlu dipraktikkan dalam dunia digital. Etika berkomunikasi, menghormati pandangan orang lain dan mengawal emosi ketika berinteraksi dalam talian adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang harus dipupuk sejak kecil.

Mengembalikan adab, kemanusiaan
Masalah buli tidak akan selesai hanya dengan hukuman. Ia memerlukan perubahan jiwa dan kesedaran nilai yang mendalam. Pelajar harus difahamkan bahawa menjadi manusia beradab adalah tanda kecerdikan sebenar bukan berapa tinggi pencapaian akademik atau berapa ramai pengikut di media sosial.

Adab menahan tangan daripada menyakiti, lidah daripada menghina, dan jari daripada menulis sesuatu yang boleh melukakan hati orang lain.

Institusi pendidikan boleh memainkan peranan dengan memperkukuh pendidikan moral dan karakter. Aktiviti empati, kerja komuniti dan program kesedaran nilai perlu dijadikan budaya berterusan di sekolah dan kampus.

Ibu bapa pula harus menjadi model adab di rumah. Anak-anak belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat, bukan semata-mata daripada apa yang mereka dengar. Adab bermula daripada institusi kekeluargaan — dan di sinilah acuan utama dibentuk.

Sebagai ibu dan bapa, tunjukkanlah contoh tauladan terbaik kepada anak-anak, kerana mereka ibarat kain putih yang akan dicorakkan oleh tangan kita sendiri.

Persoalannya kini, di manakah adab? Jawapannya ada pada diri setiap daripada kita. Selagi kita tidak kembali menilai semula cara berinteraksi, mendidik dan menghormati sesama manusia, selagi itulah masalah buli dan keruntuhan sosial akan terus berulang.

Adab bukan sekadar sopan santun, tetapi jiwa kepada peradaban. Tanpanya, ilmu hilang berkat, hubungan hilang makna, dan manusia hilang kemanusiaannya.

Rozita binti Alias @ Abdul Latiff

Penulis dari Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast