KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani menyangkal Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Juwairiya Zulkifli yang menyifatkan adalah tidak adil Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipersalahkan susulan pelbagai musibah yang melanda Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini.
Menurut beliau, kenyataan Juwairiya itu adalah tidak tepat dan seolah-olah cuba mengalihkan tanggungjawab moral serta pentadbiran Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, meskipun menteri tidak berada di setiap sekolah untuk memantau pelajar secara langsung, namun tanggungjawab utamanya adalah memastikan sistem pendidikan negara dilindungi oleh dasar, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang mantap bagi mencegah pelbagai masalah disiplin.
“Apabila berlaku insiden tragik di bawah bidang kuasa kementerian, persoalan asasnya ialah – adakah sistem sedia ada cukup kuat untuk mencegahnya?
“Jika tidak, maka tanggungjawab itu berpunca daripada kelemahan dasar dan pelaksanaan di bawah kementerian sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau, menteri bukan sekadar pembuat dasar di atas kertas, sebaliknya perlu memastikan pelaksana di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru besar dan pengetua benar-benar melaksanakan pengawasan serta pemantauan keselamatan pelajar dengan berkesan.
Jelasnya, kejadian buli, rogol mahupun pembunuhan di kawasan sekolah jelas menunjukkan wujud kelemahan sistemik dalam sistem pendidikan.
“Ia perlu ditangani melalui reformasi menyeluruh terhadap dasar keselamatan, pendidikan moral, dan pemantapan aspek psikologi pelajar,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, dalam sistem demokrasi, seorang menteri bukan hanya bertanggungjawab mentadbir, tetapi juga menanggung amanah dan akauntabiliti terhadap sebarang kegagalan sistem di bawah kementeriannya.
Sehubungan itu, tambahnya, menyalahkan guru, sekolah atau masyarakat tanpa menilai keberkesanan dasar kementerian adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab politik dan moral.
“Menteri tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, beliau mesti menjadi peneraju reformasi,” katanya.
Tambah Ahmad Solehin, Menteri Pendidikan juga merupakan penjaga kepada masa depan generasi muda, maka setiap dasar, SOP dan tindakan mesti berpaksikan keselamatan, disiplin dan kesejahteraan pelajar.
Ujarnya, tragedi yang berlaku di sekolah bukan isu terpencil, sebaliknya merupakan amaran bahawa sistem pendidikan perlu diperbaiki segera.
“Kementerian Pendidikan tidak boleh lepas tangan, sebaliknya mesti bertindak pantas dan tegas untuk memastikan sekolah kembali menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















