Penyanyi, Ahmad Nubhan Ahmad

SEPANG – Penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad hari ini hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Difahamkan, Nubhan, 39, selaku plaintif dalam kes berkenaan memohon mahkamah untuk mengesahkan dua lafaz talak yang masing-masing dibuat pada 2017 dan Ogos lalu, serta satu lafaz rujuk selepas talak pertama.

Peguam syarie yang mewakili Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, permohonan tersebut merangkumi keseluruhan lafaz yang pernah dibuat penyanyi itu sejak mereka mendirikan rumah tangga hampir sedekad lalu.

“Rupanya pada tahun 2017, dia pernah melafazkan cerai sekali tetapi telah merujuk semula dalam tempoh singkat.

“Namun, perkara itu tidak pernah didaftarkan, termasuklah rujuk berkenaan,” katanya ketika ditemui sebelum prosiding, hari ini.

Menurut Akberdin, mahkamah akan meneliti sama ada kedua-dua pengesahan talak berkenaan akan didengar serentak atau berasingan, bergantung kepada keputusan hakim.

“Dalam permohonan hari ini, dia memfailkan sekali dua lafaz talak iaitu talak pertama pada 2017 dan talak kedua pada Ogos lalu.

“Oleh itu, Hakim akan memutuskan sama ada ingin mendengar kedua-duanya sekali gus atau menyelesaikan dahulu isu talak pertama dan rujuk sebelum mendengar pengesahan talak kedua,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai punca lafaz talak, peguam itu menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak lagi relevan, memandangkan ia dibuat di luar mahkamah.

“Apabila lafaz dibuat di luar mahkamah, punca sudah tidak relevan lagi.

“Mahkamah hanya akan meneliti sama ada lafaz itu dibuat dengan niat, dalam keadaan waras serta tanpa sebarang paksaan atau ugutan.

“Jika disabitkan, maka jatuhlah talak dua. Selepas ini, kita akan meneruskan dengan isu berkaitan anak, hak jagaan, harta sepencarian dan perkara-perkara lain yang berbangkit,” katanya.

Dalam pada itu, Akberdin turut mengesahkan bahawa pihak Nubhan pernah menghantar surat tawaran perceraian kepada anak guamnya sebelum Ogos lalu.

“Memang benar dia ada menghantar surat kepada anak guam saya berkaitan isu hak isteri selepas perceraian.

“Dia juga ada membuat tawaran dan kami telah memberikan maklum balas, namun perkara itu tidak diteruskan dan akhirnya senyap begitu sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Nubhan dan Afifah tiba di mahkamah menaiki kenderaan berasingan, namun hadir serentak di perkarangan mahkamah bagi menghadiri prosiding berkenaan.

Semalam, tular di media sosial mengenai penceraian pasangan itu, selepas dakwaan mengatakan Nubhan melafazkan talak terhadap isterinya di dalam kereta pada Ogos lalu.

Nubhan dan Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast