Tiga warga myanmar bersama tekong yang ditahan dengan bot nelayan tempatan bersama hasil tangkapan laut di perairan negara di Pahang semalam oleh Maritim Malaysia. Ihsan Maritim Pahang.

KUANTAN – Sebanyak  627 bot nelayan asing (VNA) dirampas dalam Operasi Naga (Op Naga) sejak ia dilancarkan pada Mei 2019 sehingga Ogos tahun ini dengan nilai keseluruhan lucut hak, denda dan lelong berjumlah RM146 juta.

Nilai keseluruhan tangkapan ini merupakan pulangan pelaburan  kepada kerajaan hasil pelaksanaan operasi bersepadu dan berkesan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pencerobohan VNA khususnya di perairan Laut China Selatan, merupakan isu serius serta mengancam kedaulatan, keselamatan dan sumber ekonomi negara.

“Laut tidak mempunyai tembok sempadan yang memisahkan antara satu negara dengan yang lain sebagaimana di daratan.

“Oleh sebab itu pencerobohan pasti akan berlaku. Namun dengan kesepakatan dan kesiapsiagaan tinggi semua pihak, kita dapat memastikan perairan negara terus selamat dan terkawal,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Operasi Bersepadu Op Naga Siri 2/2025 di sini hari ini.

Katanya lagi, setiap keputusan dan pelan tindakan yang dipersetujui dalam mesyuarat akan menjadi panduan penting bagi meningkatkan lagi keupayaan pengawasan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih proaktif di laut.

Mohd Zawawi juga berpuas hati dengan pelaksanaan Table Top Excercise (TTX) yang pertama kali dilaksanakan bersama semua jabatan dan agensi, melibatkan pasukan operasi dan sokongan dalam mengukuhkan pengoperasian Op Naga.

Katanya, pelaksanaan TTX dalam Op Naga bagi mengenalpasti kekangan atau permasalahan yang boleh berlaku dalam situasi sebenar di lapangan dan memastikan kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi selain langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan prosedur yang digunapakai.

Mesyuarat ini diadakan dua kali setahun sebagai platform untuk semua Jabatan/Agensi yang terlibat berkumpul dan membincangkan isu-isu berbangkit turut membincangkan pemerkasaan aset strategik, pelaksanaan operasi bersepadu lebih efisien, pengukuhan risikan dan penyampaian maklumat

Platform komunikasi terbaharu iaitu Combined Strategic Communication Working Group (CSCWG) juga ditubuhkan hari ini bagi penyelarasan mesej komunikasi antara semua agensi di bawah Op Naga.

Selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Op Naga melibatkan 17 agensi terdiri dari pasukan operasi iaitu pasukan polis marin dan pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Manakala pasukan sokongan terdiri dari Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah dan Taman-Taman Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast