SUMBER FOTO: - FB Public Health Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengendali laman sosial Facebook berasaskan kesihatan, Public Health Malaysia (PHM) menegur penggiat filem supaya menilai semula tajuk-tajuk filem yang menggunakan istilah` buli’ atau `ragging’.

Menerusi satu hantaran, katanya, pihaknya tidak menafikan hak penggiat filem untuk berkarya, namun dalam situasi sosial hari ini, kebebasan itu mesti datang bersama tanggungjawab.

Menurutnya, istilah seperti `buli’ atau `ragging’ bukan jenama atau tarikan pemasaran, sebaliknya luka sebenar yang masih segar pada ramai orang.

“Tajuk Ragging tidak salah secara undang-undang, tetapi kurang sensitif secara sosial dan emosi,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya berharap penggiat filem tidak lagi memaparkan pembuli sebagai “cool”, kacak, bergaya atau berkuasa.

Ini kerana, ujarnya, dalam dunia nyata, wajah yang sama sedang menghantui mangsa di sekolah, universiti dan tempat kerja.

“Dan adegan merokok tidak lagi wajar dipaparkan sebagai lambang tekanan atau pemberontakan.

“Kita sedang berjuang menghapuskan budaya merokok, bukan mengangkatnya semula di layar perak,” katanya.

Tambahnya, sekiranya semua pihak benar-benar komited untuk membanteras budaya buli, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga perlu memikul tanggungjawab tersebut.

“Kepada semua pembuat filem, mohon ambil teguran ini secara positif.

“Ini bukan sekatan terhadap seni, tetapi seruan agar seni terus berpihak pada kemanusiaan.

“Kerana di tangan anda, ada kuasa untuk membentuk cara generasi akan melihat dan mempercayai apa itu benar dan salah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast