Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah supaya menyalurkan bantuan segera terhadap kejadian runtuhan bangunan yang turut melibatkan sebuah surau Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kampung Medan, Telok Panglima Garang semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu adalah bagi meringankan beban ditanggung pihak surau KAFA yang terjejas di samping memastikan langkah pembaikan dan keselamatan diambil secepat mungkin.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberi kesembuhan segera serta berharap insiden berkenaan menjadi peringatan agar aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan dalam setiap premis pendidikan Islam di negara ini.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan perubatan KKM, pihak berkuasa tempatan dan semua yang terlibat atas kecekapan serta keprihatinan mereka melaksanakan tugas menyelamat dengan pantas dan berkesan.

“Sehubungan dengan kejadian ini saya mengarahkan JAKIM untuk menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak surau KAFA serta memastikan langkah pembaikan dan keselamatan diambil dengan kadar segera.

“Semoga semua mangsa diberi kesembuhan segera oleh Allah SWT dan semoga insiden ini menjadi peringatan agar aspek keselamatan diutamakan dalam setiap premis pendidikan Islam di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, media melaporkan hujan lebat disusuli ribut kencang telah menyebabkan runtuhan terhadap bangunan sebuah surau Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) berkeluasan 50 x 60 kaki persegi yang diklasifikasikan sebagai bangunan kelas A.

Terdapat kira-kira tujuh hingga sembilan pelajar KAFA mengalami kecederaan ringan dan telah dirawat oleh pasukan perubatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast