KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan lencongan jalan dan penyuraian trafik sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025 di ibu negara.
Menurut Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, latihan raptai itu adalah bagi pergerakan motoked rasmi yang akan diadakan bermula 17 hingga 24 Oktober ini melibatkan laluan dari Lapangan Terbang ke hotel-hotel penginapan sekitar ibu negara, Seri Negara dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Katanya, latihan itu akan melibatkan seramai 1,111 pegawai dan anggota JSPT termasuk pegawai kanan polis serta pegawai rendah polis.
“Sepanjang persidangan berlangsung, bermula 26 hingga 28 Oktober, JSPT akan mengaktifkan pelan trafik khas yang melibatkan lencongan jalan serta penyuraian trafik di enam lebuh raya utama dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang.
“Orang awam dinasihatkan untuk memberi kerjasama dan mengambil langkah mengelakkan laluan yang terlibat dengan lencongan serta menggunakan laluan alternatif disediakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, pengguna jalan raya juga perlu merancang perjalanan lebih awal untuk memastikan kelancaran pergerakan serta menyusun semula aktiviti atau program yang dijadualkan berlangsung semasa tarikh persidangan.
Turut perlu dilakukan kata beliau iaitu mematuhi arahan petugas trafik yang bertugas di lokasi bagi menjamin keselamatan dan kelancaran trafik serta mematuhi waktu larangan khusus bagi kenderaan perdagangan.
Beliau turut menyarankan agar orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti Monorel, LRT, MRT dan bas bagi mengurangkan kesesakan di kawasan terlibat serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan tugasan dan penyuraian trafik melalui saluran rasmi PDRM dan JSPT.
JSPT turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna jalan raya serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat atas kerjasama dalam menjayakan persiapan dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. – MalaysiaGazette
















