GOMBAK – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket dadah dari Pantai Timur dengan jumlah rampasan bernilai RM14 juta.
Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket tersebut diberkas menerusi tiga serbuan yang dijalankan di Batu Caves dan Wangsa Maju pada 13 dan 14 Oktober lalu.
Menurutnya, pasangan suami isteri antara lima anggota sindiket yang diberkas ketika serbuan.
“Seramai empat lelaki dan seorang wanita tempatan 29 hingga 38 tahun ditangkap.
“Serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres sekitar Batu Caves dan Berjaya menangkap pasangan suami isteri. Turut dirampas 197 bungkus plastik berisi dadah jenis ketamin seberat 200 Kg dan 121 bungkusan plastik methamphetamine seberat 125Kg.
“Serbuan kedua dijalankan di Kawasan parkir sebuah kondominium sekitar Wangsa Maju dan menahan seorang lelaki tanpa dadah.
“Serbuan ketiga di unit kondominium itu dan menangkap dua lelaki dengan dadah jenis ketamin seberat 200Kg dan Methampethamine 125 Kg,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JSJN, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali.
Beliau berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini membawa bekalan daripada Kelantan untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang melalui jalan darat.
“Mereka ini dipercayai membawa dadah ini dengan jalan darat sama ada jalan utama dan jalan tikus, dan Modus Oprandi (MO) adalah menyewa rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dadah sebelum diedar kepada sindiket pengedaran lain,” katanya sambil mengesahkan ujian air kencing kelima-lima suspek negatif dadah.
Ujarnya, pihaknya turut merampas enam buah kereta pelbagai jenama dan barangan jemas bernilai RM300,000.
Sementara itu, Hussein mengesahkan kes tersebut disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Oktober lalu,
“Kesemua suspek tidak memiliki rekod lampau, Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 juga dilakukan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















