Gambar hiasan

TANGKAK – Wang simpanan seorang suri rumah RM65,100 hangus selepas menerima panggilan dan diperdaya scammer menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan anggota polis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, semuanya bermula apabila mangsa berusia 39 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada Rabu lalu.

“Suspek menyamar sebagai pegawai SKMM dan memaklumkan dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram iaitu penipuan secara dalam talian.

“Kemudian panggilan disambungkkan kepada pihak polis dan akibat panik, mangsa mengikut arahan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek kemudian mengarahkannya memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan sehingga selesai siasatan.

Mangsa mengikut arahan tersebut kelmarin dengan melakukan 13 transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza disyaki mule account.

Namun katanya, selepas melakukan transaksi berjumlah RM65,100 dan mengesyaki sudah ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam.

Roslan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa dengan panggilan palsu dan tidak mudah terpedaya dengan taktik scammer.

Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’, katanya.

Mereka juga ujarnya, dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan ‘scam’ melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.

“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa ‘scam’, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast