KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas langkah berani kerajaan memulakan agenda reformasi sistem pendidikan negara.
Beliau menyifatkan pengumuman terbaru Kementerian Pendidikan itu sebagai detik penting yang menandakan kesungguhan kerajaan untuk memperbaiki struktur pendidikan yang telah lama dikritik sebagai tidak lagi relevan dengan keperluan semasa.
“Tahniah Fadhlina Sidek. Akhirnya (reformasi serta-merta pendidikan negara),” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Fadhlina berkata, aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang serta berbahaya antara lima komponen utama reformasi serta-merta pendidikan negara dalam usaha memastikan sekolah menjadi premis lebih selamat untuk semua.
Katanya, aspek lain yang diberi penekanan ialah pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Dasar Perlindungan Kanak-kanak (CPP) dan bimbingan serta sokongan daripada guru.
Selaras usaha itu, tambah Menteri Pendidikan itu, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dikerah untuk melaksanakannya serta-merta secara praktikal dan efisien di semua 10,243 sekolah seluruh Malaysia.
Menurut Anuar, isu kelemahan sistem pendidikan telah berulang kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan masyarakat sivil, namun tidak pernah ditangani secara menyeluruh sebelum ini.
“Memang telah diulang-ulang bahawa sistem pendidikan negara memerlukan reformasi (termasuk keselamatan sekolah) sesegera mungkin,” ujarnya.
Beliau berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah keselamatan dan keselesaan sekolah, beban guru yang semakin meningkat serta keperluan menyemak semula kurikulum agar lebih sesuai dengan cabaran abad ke-21. – MalaysiaGazette
















