Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 OKTOBER 2025

PUTRAJAYA – Pertemuan kepimpinan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dengan pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pemulangan 198 warga asing yang diberi Notis Penolakan Masuk (NTL) baru-baru ini dilakukan pada majlis rasmi dan bukan secara sulit.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perjumpaan empat mata itu pada awalnya untuk menghargai pegawai penguat kuasa yang terbabit menyelaras pemulangan dan kejayaan di sebalik operasi tersebut.

Beliau tidak menyangka pertemuan itu cuba dimanipulasi pihak tertentu dengan menyebarkan video yang mengandungi rakaman audio dipercayai dirakam secara tersembunyi.

“Sebenarnya apa yang diviralkan itu adalah tindak balas daripada satu rakaman yang dibuat pada malam itu. Kalau tuan-tuan perhatikan, ada satu suara tapi diambil di celah-celah kabinet.

“Yang diwhatsappkan, tersebar dalam konteks WhatsApp. Apabila ramai orang bertanya, saya rasa ini sudah viral, maka saya mengarahkan, kita perlu beritahu masyarakat bahawa ia berlaku dalam acara formal.

“Bukan satu keadaan yang saya lakukan secara sulit dan sebagainya. Ia berlaku dalam acara formal. Mungkin disebabkan itu dan beberapa kejayaan lain, kehadiran AKPS itu semakin dirasai, dilihatlah ianya wujud,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir dalam Sesi Townhall sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS 2025.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bergambar bersama warga AKPS pada sesi townhall di Dewan Serbaguna Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 OKTOBER 2025

Menurut Shuhaily, pertemuan bersama pegawai penguat kuasa itu menjadi asbab kepada penahanan hampir separuh anggota yang bertugas secara shift ketika itu yang terlibat dengan kegiatan salah laku ‘Counter Setting’.

“Saya tanya kepada kumpulan itu, tanpa saya sedar itulah kelompok hampir separuh daripada mereka ditahan oleh SPRM dalam Ops Setting.

“Ini kerja Allah, saya tak tahu. Sebagai seorang pemimpin, saya telah memainkan peranan saya dalam memberi mereka amaran yang sewajarnya. Berhenti melakukannya (Counter Setting).

“Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya untuk mengingatkan mereka. Tapi akhirnya Tuhan itu nak tunjuk, separuh daripada yang ditahan datang dari syif itu. Saya tak pilih syif itu, saya tak tahu.

“Tapi ada sesuatu yang Tuhan ingin beritahu saya, tunjukkan kepada saya, tunjukkan kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast