Oleh: Ahmad Anwar Asyraf
BULI, serangan seksual, dan kes bunuh di kalangan pelajar kini bukan lagi berita luar biasa. Ia bukan lagi kejutan — hanya kitaran berita yang berulang. Kita marah sekejap, simpati seketika, kemudian kembali kepada rutin, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Setiap kali tragedi ini muncul, kita cepat mencari kambing hitam — guru, sekolah, atau kementerian. Tapi persoalannya bukan sekadar “apa silap sekolah?” yang lebih menakutkan adalah: apa sudah jadi pada jiwa bangsa ini?
Rumah sebagai pelajaran pertama
Pelajaran pertama anak-anak bermula di rumah. Sekolah sepatutnya melengkapi dan memperkukuhkan. Rumah, menurut Islam, adalah tempat sakinah — tempat mendamaikan jiwa. Dalam dunia moden yang mencabar, ramai ibu bapa sibuk dengan aktiviti luar rumah kerana tuntutan hidup yang kian mencabar, hingga anak-anak membesar tanpa ruang untuk didengar dan mendengar, tanpa disiplin emosi, dan mencari makna di luar.
Akibatnya, anak-anak lebih mudah terdedah kepada pengaruh negatif di luar rumah — rakan sebaya, media sosial, hiburan, dan budaya pop yang mengaburkan garis antara realiti dan fiksyen. Sekolah tidak lagi menjadi satu-satunya ruang pembelajaran sahsiah; ia hanya melengkapkan apa yang sudah ditanam di rumah.
Pengaruh gelap – media, hiburan, dan “heroisme” palsu
Filem dan siri remaja yang trending di Netflix, YouTube, TikTok, permainan video, dan platform lain memaparkan keganasan sebagai kuasa dan kebebasan. Watak remaja yang menentang guru, membuli, atau membunuh rakan dipotretkan sebagai “berani” dan “cool”.
Pelaku di Malaysia yang bergaya dengan sarung tangan dan pisau mencerminkan bayang budaya pop — seolah-olah jenayah itu lakonan profesional. Realiti disalin terus daripada fiksyen, dan remaja berumur 13–15 tahun meniru gaya, pose, dan alat seolah-olah belajar dari modul pembunuh profesional.
Masyarakat terlalu cepat menghakimi
Setiap tragedi, masyarakat ghairah mencari pesalah — guru, pengetua, pelajar, malah sistem pendidikan. Media sosial menjadi mahkamah terbuka. Influencer berlumba buat konten simpati, kadangkala dengan nada sensasi; ada yang jual stiker dan baju solidariti. Kita meraih ‘engagement’, bukan empati.
Apabila guru mengambil tindakan mendisiplinkan pelajar, masyarakat dan ahli politik pantas mengapi-apikan keadaan. Ada guru berdepan siasatan polis, didakwa di mahkamah, atau disaman, selain aduan melalui SISPAA, PPD, JPN, dan KPM. Situasi ini mengikat tangan guru, menjadikan mereka takut mendisiplinkan pelajar.
Tidak dinafi ada juga guru yang terbabas dan menjadi terlalu beremosi sehingga mencederakan pelajar, tetapi tidak boleh pukul rata — majoriti guru dedikasi dan membina disiplin positif.
Kelemahan sistemik
Walaupun sistem pendidikan Malaysia kini tidak lagi terlalu exam-oriented, kelemahan besar masih wujud dalam pendidikan nilai, disiplin emosi, dan kesedaran empati. Sekolah sahaja tidak mampu membentuk sahsiah secara menyeluruh. KPM perlu merangka reformasi pendidikan holistik yang menjadikan aspek sahsiah, moral, dan psikologi pelajar serta guru sebagai prioriti strategik — termasuk kemahiran mengurus emosi, empati, dan sokongan psikologi berterusan.
Apabila tragedi berlaku, jawapan KPM sering terbatas kepada kenyataan akhbar dan statistik, tanpa membincangkan akar budaya dan pengaruh luar yang membentuk tingkah laku pelajar. Sekolah hanya menampung apa yang sudah rosak di rumah dan dibentuk oleh media hiburan—dan tanpa dasar holistik yang tegas dari KPM, sekolah tidak mampu mencegah tragedi sebegini daripada berulang.
Peranan ibu bapa dan masyarakat
Menurut laporan UNICEF Our Lives Online (2020), 91% kanak-kanak Malaysia berumur 13–17 tahun menggunakan internet setiap hari, dengan 70% menggunakan media sosial. Lebih membimbangkan, 56.3% kanak-kanak berusia 5–17 tahun melayari internet secara bersendirian, meningkatkan risiko terdedah kepada kandungan tidak sesuai.
Ibu bapa memainkan peranan penting: memantau media sosial, menetapkan masa skrin, dan mendidik anak mengenai etika digital. Kajian MCMC (2018) menunjukkan hanya 57.5% ibu bapa memeriksa akaun media sosial atau browser history anak mereka. Kerajaan boleh melaksanakan kempen berskala nasional seperti “Didik Sebelum Sekat” — melatih ibu bapa menggunakan parental control, menetapkan masa skrin, dan mendidik anak tentang etika digital. Tiada firewall yang lebih berkesan daripada kesedaran ibu bapa dan pendidikan nilai.
Guru juga berperanan sebagai role model, membentuk disiplin pelajar melalui dedikasi dan sikap positif. Masyarakat perlu menyokong pendidikan nilai digital, mengawasi kandungan, dan mendidik anak kecil dan remaja dalam komuniti tentang penggunaan internet yang selamat dan bertanggungjawab. Pada 2024, MCMC menurunkan 63,652 kandungan tidak sesuai di media sosial, menandakan cabaran berterusan dalam mengawal persekitaran digital anak-anak.
Cermin retak sebuah bangsa
Sekolah hanyalah pentas kecil yang memantulkan retak dalam masyarakat. Setiap kali seorang anak menumpahkan darah di sekolah, yang terbunuh bukan sekadar seorang pelajar — tetapi sebahagian dari kemanusiaan kita semua.
Selagi kita tidak kembali menjadikan rumah sebagai tempat mendidik nilai dan empati, menyokong guru dalam membina sahsiah pelajar, dan menjadikan masyarakat serta ibu bapa sebagai ruang pembimbing moral, sekolah akan terus menjadi gelanggang muram, tempat anak-anak belajar bahawa dunia ini tidak lagi aman.
Penulis adalah merupakan Ketua Tindak Muar, sebuah organisasi massa (Ormas) yang meneliti dasar awam, ekonomi rakyat dan pembangunan sosial Malaysia, dengan tujuan memperkukuh suara rakyat dalam pembentukan dasar negara.
















