Seorang lelaki maut terlibat kemalangan tiga kenderaan di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang  malam tadi.

KLUANG – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi warga Bangladesh yang menaiki basikal parah terlibat kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 60, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 8.30 malam melibatkan sebuah motosikal, basikal dan sebuah lori tangki.

“Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Honda RS-X 150 yang ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 28 tahun dalam perjalanan dari arah Mersing ke bandar Kluang.

“Semasa sampai di tempat kejadian sebuah basikal ditunggang seorang lelaki warga Bangladesh berusia 50 tahun menyeberang jalan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahrin berkata, motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar basikal tersebut sebelum terbabas dan melanggar pula sebuah lori tangki jenis Mercedes-Benz yang diletakkan di bahu kiri jalan.

Akibatnya penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara penunggang basikal tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dikejarkan ambulan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Menurutnya, mangsa yang patah tangan kanan, tulang rusuk, kecederaan di kepala dan kaki serta masih tidak sedarkan diri dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HEBHK dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis turut menyiasat pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun di bawah Rule 16(1) LN 166/59 kerana membuat halangan di atas jalan dengan meletakkan lori,” ujarnya.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan dan jika kesalahan kali kedua dan berikutnya boleh didenda RM4,000 atau dipenjarakan sehingga 12 tahun atau kedua-duanya.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 dan tablet TlDCC 014-365682.

Video berkenaan kejadian tersebut tular dalam media sosial sejak malam tadi yang memaparkan dua lelaki terbaring atas jalan raya selepas kemalangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast