GEORGE TOWN – Seorang doktor Hospital Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas empat pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan dua wanita warga asing, pada Februari lalu.
Tertuduh, Goon Hoong Tatt, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail dan Nur Fadrina Zulkhairi.
Bagi pertuduhan pertama di Majistret 2, di hadapan Muhammad Amzar, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing dengan cara mengarahkan mangsa membuka pakaian dan berlari setempat di bilik pemeriksaan klinikal Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, jam 9.30 malam pada 26 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad menawarkan jaminan RM9,000 serta syarat tambahan tertuduh dilarang ganggu mangsa saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam N. Tishalini dalam mitagasi rayuan mohon jaminan minima atas alasan anak guamnya merupakan seorang penjawat awam dan telah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Pulau Pinang selama 15 tahun serta mempunyai ijazah sarjana dalam Forensik Patologi.

“Anak guam saya juga menanggung isterinya yang merupakan suri rumah sepenuh masa, bapanya berumur 80 tahun dan ibunya berusia 73 tahun. Selain itu, ibunya juga menghidap masalah pendarahan rahim dan dijaga sendiri oleh anak guam di rumah.
“Dari segi kewangan, gaji bulanan anak guam RM10,000 namun selepas ditolak pinjaman hanya berbaki sekitar RM5,000.
“Selain itu, tertuduh juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri. Malah, dia hadir sendiri ke mahkamah pada jam 8 pagi hari ini selepas dimaklumkan oleh pegawai penyiasat mengenai pertuduhan yang akan dihadapinya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang ganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, Hoong Tatt didakwa atas tiga lagi pertuduhan melibatkan mangsa lain.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing dengan mengarahkannya membuka pakaian di bilik pemeriksaan klinikal Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, jam 9.15 malam pada 20 Februari lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia diakwa telah mengaibkan kehormatan wanita sama dengan menyuruh wanita itu berlari setempat dalam keadaan bogel pada jam 9.30 malam di lokasi dan tarikh sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berkenaan dengan niat mencabul kehormatannya dengan menyentuh dada mangsa pasa jam 9.15 malam di tarikh serta lokasi sama.
Bagi kesalahan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin menawarkan jaminan RM7,000 dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
N. Tishalini menggunakan mitigasi rayuan sama di Mahkamah Majistret 2.
Nur Fadrina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa sepanjang kes.
Kesemua kes akan disebut semula pada 27 November depan.
Media sebelum ini melaporkan doktor tersebut direman beberapa kali membabitkan tiga kes berasingan dalam daerah Timur Laut dan Barat Daya bagi membantu siasatan mencabul pesakit warga asing di tempat dia bekerja termasuk klinik swasta. – MalaysiaGazette














