Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti garis panduan bersesuaian susulan cadangan pelaksanaan langkah-langkah segera untuk meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah umur 16 tahun.

Kementerian itu dalam kenyataannya hari ini berkata, garis panduan tersebut akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan langkah-langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan.

Ini termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan.

“Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat Kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja dari ancaman siber.

“Mekanisme untuk pelaksanaannya akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” kata kenyataan itu.

Tambahnya, semua institusi pendidikan bawah KPM juga dituntut untuk memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan institusi dapat ditingkatkan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/10/17/kerajaan-teliti-cadangan-larang-pelajar-bawah-16-tahun-guna-telefon-pintar-pm/

Kerjasama rentas Kementerian dan agensi adalah cerminan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar bawah umur 16 tahun.

Katanya, pengaruh media sosial dan permainan dalam talian kadangkala membawa kepada tindakan luar jangka oleh pelajar dan disebabkan itu penelitian sedang dilakukan berhubung perkara tersebut. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast