Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan seorang murid Tahun Satu dipukul dua murid Tahun Tiga ketika berada di kantin Sekolah Seksyen 32, Shah Alam, Selangor dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima laporan terbabit daripada ibu mangsa jam 9.51 malam Rabu lalu.

“Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku pada 15 Oktober sekitar jam 3 petang mengakibatkan mangsa cedera dipukul dua suspek berusia 9 tahun.

“Mangsa kini berada di Hospital Shah Alam bagi menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan punca kejadian termasuk kecederaan yang dialami mangsa.

Berikutan itu, Mohd Iqbal berkata siasatan dijalankan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang murid lelaki Tahun Satu di sebuah sekolah di Seksyen 32, mendapatkan rawatan di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli kepada tiga murid Tahun Tiga ketika waktu rehat, Rabu lalu.

Bapa mangsa mendakwa, anaknya yang diugut akan dicekik sekiranya melawan, dipijak berkali-kali di perut, dada dan kaki, selain mulutnya ditekup oleh pelaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast