Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 November ini ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari tahun depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penangguhan itu berikutan tarikh asal PAU 2025 bertembung dengan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah.

“Dengan penangguhan ini diharapkan agar kepimpinan dan jentera UMNO seluruh Malaysia dapat menumpukan sepenuh tenaga dan usaha membantu Barisan Nasional (BN) Sabah bagi meraih kembali kepercayaan rakyat, untuk BN kembali mengemudi kerajaan negeri demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang akhbar mengumumkan hari pengundian bagi PRN-17 Sabah ditetapkan pada 29 November depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November ini.

Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN-17, dengan masing-masing melibatkan seramai 1,760,417 pengundi biasa; 11,697 tentera dan pasangan, manakala 12,729 polis serta pasangan.

Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast