KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengesahkan seorang mahasiswa terjatuh di salah satu kolej kediaman kira-kira 3.30 petang tadi.
Dalam kenyataan terkini jam 5.26 petang tadi, UM memaklumkan pelajar berkenaan telah pun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Seluruh warga Universiti Malaya menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
“Pihak universiti, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” katanya.
Menurut UM, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa dan universiti itu akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
“Sehubungan itu, pihak universiti menyeru semua pihak agar menghormati privasi keluarga Allahyarham serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ini,” katanya lagi.
Terdahulu, UM dalam kenyataannya berkata, seorang pelajar disahkan terjatuh dari bangunan kolej kediaman dan telah pun dibawa ke PPUM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Universiti itu bagaimanapun tidak memperincikan kejadian tersebut dan identiti mangsa.-MalaysiaGazette
















