KUALA LUMPUR – Pemain Terbaik Asia menjadi milik bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari manakala pemain Jepun, Hana Takahashi menerima anugerah Pemain Wanita Terbaik Asia pada majlis gilang-gemilang Anugerah AFC ke-29 di Pusat Kebudayaan King Fahad, Riyadh malam tadi.
Kemenangan Al-Dawsari itu menafikan bintang Johor Darul Ta’zim dan Malaysia, Arif Aiman Hanapi selain bintang Qatar, Akram Afif yang menjadi tiga calon akhir untuk anugerah edisi ke-29 itu.
Dia meraih pengiktirafan selepas musim cemerlang 2024-25 bersama Al Hilal dan menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Elit AFC membantu pasukannya mara ke separuh akhir serta menyerlah di Piala Dunia Kelab FIFA hingga ke suku akhir.
Pada peringkat domestik, pemain berusia 34 tahun itu juga menjadi pencipta gol terbanyak liga sepanjang zaman selain menjaringkan 15 gol musim ini.
Ini adalah kemenangan kedua buat Al-Dawsari selepas memenanginya pada tahun 2022, sekali gus menjadikannya pemain Arab Saudi pertama menang dua kali dan hanya pemain keempat dalam sejarah melakukannya selepas Hidetoshi Nakata (Jepun), Akram Afif (Qatar) dan Server Djeparov (Uzbekistan).
Sementara itu, Takahashi, 25, menerima anugerah selepas mengetuai Urawa Red Diamonds Ladies memenangi piala domestik dan menamatkan saingan liga di tempat ketiga, selain membantu pasukan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Wanita AFC.
Pemain pertahanan itu turut digunakan di posisi serangan dan mencipta impak besar dengan 12 jaringan dalam semua kejohanan. – Agensi
















