Pekerja swasta, Abd Hadi Mohd Nordin, 60, bercakap ketika ditemubual mengenai isu kembalikan kuasa rotan kepada guru ketika tinjauan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 OKTOBER 2025

PUTRAJAYA – Cadangan untuk mengembalikan kuasa merotan kepada guru dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan tidak lagi relevan pada zaman ini.

Peningkatan kesedaran kepada perlindungan keselamatan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat yang semakin tinggi ketika ini tidak memungkinkan langkah itu dilaksanakan, malah dilihat segelintir ibu bapa sebagai satu bentuk penganiayaan.

Menurut Abd Hadi Mohd Nordin, 60, disiplin anak-anak bermula dari rumah dan masih tidak terlambat kepada ibu bapa untuk memperbaiki keadaan dengan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada generasi alpha.

Jelas Hadi, ibu bapa perlu mengubah sikap terlalu melindungi anak-anak secara membuta-tuli dan cepat melenting apabila para guru menegur pelajar-pelajar yang melanggar peraturan dan tidak disiplin di sekolah.

“Ibu bapa perlu diberi kesedaran, paling penting jangan sikit-sikit saja nak melenting atau nak saman cikgu bila anak-anak mereka dihukum dan ditegur kerana melakukan kesalahan di sekolah.

“Rotan ini, ada bagus, ada buruk dia, yang bagusnya beri kesedaran, anak-anak jadi takut (langgar disiplin). Zaman 80-an, 90-an, rotan tak jadi isu pun, ia buat kita lebih hormati guru.

“Sekarang ni, Allahuakbar, saya tak tahu nak komen macam mana, (anak-anak) terlampau manja, bila anak mereka ditegur dan dimarahi guru, ibu bapa terus datang sekolah, serang cikgu,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Hadi berkata, sudah sampai masanya pendekatan berlembut dengan anak-anak atau pelajar-pelajar bermasalah perlu dikaji semula, kelak hanya merosakkan generasi muda yang mudah terpengaruh dengan kandungan media sosial.

“Dulu kalau (pelajar bermasalah) kena tangkap, terus dihantar Sekolah Henry Gurny (sekolah pemulihan), tapi masa depan anak-anak terus gelap.

“Kalau berlembut, memang tak jalan, kena beri dia kesedaran, kena ada ketegasan, kena ada kekerasan sikit serta disiplin tinggi,” katanya.

Samsiah Kareem, 79, bercakap ketika ditemubual mengenai isu kembalikan kuasa rotan kepada guru ketika tinjauan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 OKTOBER 2025

Bagi Samsiah Kareem, 79, tindakan pelajar di luar batasan termasuk terlibat dengan jenayah rogol dan membunuh sebenarnya berpunca daripada keluarga yang bermasalah.

“Ibu bapa yang salah. Anak tak boleh kena marah. Bila guru tak boleh tegur anak di sekolah, siapa nak tegur dia? Makcik dulu, kalau salah dekat sekolah, cikgu marah, mak ayah tak masuk campur.

“Sekarang ni kalau dengar, kalau marah anak, mak ayah datang sekolah. Jadi anak tu kurang disiplin. Elok kita buat macam dulu-dulu, bila buat salah, boleh marah,” katanya.

Kata Samsiah, pendekatan rotan pelajar di sekolah tidak mampu mendisiplinkan pelajar jika ibu bapa terlampau memanjakan anak-anak, malah membela tanpa usul periksa.

“Rotan tak perlu macam zaman makcik dulu, tapi benarkan untuk menegur (pelajar-pelajar).

“Benarkan guru untuk tegur anak-anak, jangan menangkan anak pula bila dia buat salah dekat sekolah,” katanya.

Datin Siti Mariam Yaakub, 58, bercakap ketika ditemubual mengenai isu kembalikan kuasa rotan kepada guru ketika tinjauan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 OKTOBER 2025

Sementara itu, Datin Siti Mariam Yaakub, 58, berkata, cadangan untuk mengembalikan hukuman rotan untuk mendisiplin pelajar di sekolah tidak menyelesaikan masalah.

Siti Mariam berkata, pembentukan sahsiah anak-anak dan pelajar yang berdisiplin bermula dari didikan ibu bapa dari rumah.

“Kesannya akan lebih mendalam bila peranan ibu bapa itu daripada asas lagi, dari rumah lagi kita kurangkan gajet, itu rasanya lagi memberi kesan.

“Kalau setakat nak mengembalikan sistem rotan ke sekolah itu, itu rasanya tak menepati kehendak apa yang kita cuba ubah sistem kita sekarang ini.

“Rotan tidak sesuai dengan zaman sekarang, cadangan itu jauh ke belakang, kita kembali kepada didikan asas dan ibu bapa perlu perbaikinya segera,” katanya.

Siti Mariam tidak menafikan pendekatan agresif seperti hukuman rotan hanya memberi tekanan kepada pihak sekolah dek risiko tindakan yang dianggap penganiayaan itu ditularkan di media sosial.

“Kita rasa semua tertekan, guru pun tertekan juga, apa nak buat pun terbatas, nak marah pun tak boleh, nak rotan pun tak boleh, ada guru sampai takut nak buat apa-apa, nanti isu jadi viral,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast