Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan mengenai isu kristianisasi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 OKTOBER 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak mengemukakan dokumen untuk mengesahkan maklumat risikan berhubung gerakan kristianisasi di negara ini yang dikaitkan dengan penglibatan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli berhujah, Musa dalam pembelaannya menyatakan beliau cuba mendapatkan dokumen pengesahan bagi menyokong maklumat risikan yang diperolehinya, namun permohonan itu dinafikan oleh pihak polis.

Beliau menghujahkan tiada dokumen atau surat sama ada melalui dirinya atau peguam, e-mel atau teks pesanan WhatsApp dikemukakan di mahkamah bagi menyokongnya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (kiri) bersama peguamnya, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti prosiding rayuan yang difailkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung kes saman mengenai kenyataan isu kristianisasi di Mahkamah Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 OKTOBER 2025.

Ujar Razlan, tiada percubaan untuk memanggil mana-mana pegawai polis atau Kementerian Dalam Negeri untuk mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong kenyataannya.

“Dalam apa jua keadaan dan yang paling kritikal, responden akur bahawa tiada satu pun daripada dokumen risikan yang didakwa ini merujuk kepada perayu (Hannah) secara khusus.

“Meskipun responden mendakwa dokumen risikan itu wujud, ia tidak merujuk kepada perayu secara khusus. Jadi ia tidak boleh dalam apa-apa keadaan mewajarkan fitnah bahawa perayu menulis buku mahu menjadikan Malaysia negara Kristian.

“Oleh yang demikian, kami menghujahkan keseluruhan bukti ini adalah sesuatu yang difikirkan semula (afterthought), mementingkan diri sendiri dan tidak berasas. Responden tidak boleh bergantung kepada pembelaan komen yang adil,” hujahnya.

Sehubungan itu, Razlan menghujahkan Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan Musa tidak memfitnah Hannah Yeoh ketika berucap pada satu forum, lima tahun lalu.

Hujah beliau, ini kerana hakim berkenaan juga berpeluang menilai kenyataan fitnah tersebut apabila melihat sendiri rakaman video forum dan mengulanginya sehingga empat kali ketika perbicaraan.

Razlan menghujahkan, hakim bicara juga terkhilaf apabila merumuskan kenyataan Musa dalam ucapan tersebut bukan satu penerbitan bagi mengaitkannya dengan elemen fitnah.

Hujah beliau, sebaliknya, penerbitan tersebut memang berada di bawah kawalan bekas pegawai tertinggi polis itu meskipun beliau hanya penceramah jemputan.

Razlan menjelaskan, Musa mengetahui bahawa forum itu disiarkan melalui penstriman Facebook Live pada penghujung forum dan mempunyai sesi soal jawab.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan mengenai isu kristianisasi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 OKTOBER 2025.

Sementara itu, peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Musa berhujah, pendedahan anak guammya dalam forum itu adalah berdasarkan kepada buku tulisan Hannah sendiri selain kajian pakar akademik.

Ketika ditanya mahkamah sama ada Musa telah memplidkan dalam pembelaannya bahawa beliau percaya Hannah berhasrat menjadikan Malaysia negara Kristian, peguam menyatakan perkara itu tidak diplidkan.

Musa ketika memberi keterangan berkata, gerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’, video dan pendedahan pakar.

Hannah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember tahun lalu yang menolak samannya dan memutuskan kenyataan yang dibuat oleh Musa pada 2020 tidak berniat jahat terhadap beliau.  Menteri Belia dan Sukan itu turut diperintah membayar kos RM40,000.

Hakim bicara mempertimbang pembelaan Musa bahawa plaintif sendiri mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan ingin menyebarkan agama melalui politik manakala bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya penganut Kristian.

Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.

Musa, 74, bagaimanapun menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azimah Omar yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman bagaimanapun menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menjadualkan tarikh keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast