Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Tiada penutupan penuh jalan raya sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlansung pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penutupan beberapa laluan tertentu hanyalah bersifat sementara dan akan dibuka semula sebaik acara selesai.

“Laluan sekitar dari Kompleks Bunga Raya KLIA atau dari Pengkalan Udara TUDM Subang laluan-laluan terlibat akan ditutup pada waktu-waktu tertentu, sewaktu ketibaan delegasi ataupun pemimpin ketua negara.

“Manakala bagi kawasan Kuala Lumpur khususnya di beberapa lokasi seperti diumumkan oleh pihak urusetia ASEAN ada beberapa penutupan dinyatakan mengikut tarikh dan hari tertentu khususnya di kawasan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi meminta orang ramai mengambil maklum dan merujuk jadual trafik berhubung penutupan sementara laluan di Lembah Klang susulan Sidang Kemuncak ASEAN.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pusat bandar raya Kuala Lumpr akan ditutup sepenuhnya sempena penganjuran sidang kemuncak itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, seramai 1,111 pegawai dan anggota trafik JSPT akan digerakkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang tempoh sidang itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast