Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebarang usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan warga sekolah mestilah tidak menambah kepada beban kerja guru dengan tugasan pentadbiran serta laporan kerja yang berlebihan.

Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan, Loh Wei Jian berkata, guru seharusnya diberi ruang untuk menumpukan peranan utama mereka iaitu mendidik, membimbing dan menjaga kesejahteraan murid.

“Masalah sosial dan disiplin pelajar memerlukan tindakan yang konkrit, berasaskan data dan realiti, bukannya sekadar kempen simbolik.

“Jangan ulangi kesilapan lalu seperti tindakan mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” di sekolah yang akhirnya hanya menjadi slogan kosong tanpa hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, susulan beberapa tragedi menyedihkan yang berlaku di sekolah termasuk kes buli, rogol, dan insiden tikam pelajar, rakyat Malaysia mahu melihat langkah diambil dengan kadar segera oleh pihak berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk penempatan kaunselor secukupnya di sekolah, mewujudkan dan menambah pusat psikologi serta kaunseling bagi menawarkan sokongan emosi dan mental kepada guru.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar CCTV ditambah di kawasan sekolah serta penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan sejahtera.

“Yang paling penting, rakyat ingin melihat bahawa kerajaan benar-benar bersama dengan rakyat, khususnya warga pelajar dan guru dalam konteks ini, dalam memikul tanggungjawab menjamin keselamatan warga sekolah, dan bukannya mengajukan langkah penyelesaian dari bilik berhawa dingin tanpa memahami realiti di lapangan,” katanya lagi.

Tambah beliau, sebarang pembaharuan pendidikan dan usaha mempertingkatkan keselamatan di sekolah mestilah berpaksikan kesejahteraan guru dan pelajar. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast