JOHOR BAHRU – Sebanyak 157 premis diperiksa dan 450 produk disita menerusi Ops Selamat Paru-Paru yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan kesalahan berpunca daripada kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok, memaparkan produk tembakau dan vape secara terbuka serta menjual kepada individu bawah umur.
“Kesalahan ini jelas menunjukkan keperluan kepada pemantauan berterusan dan tindakan lebih tegas agar semua premis mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Tian Soon, selepas tindakan sitaan terhadap sebuah premis terkemuka di daerah ini Rabu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menerima beberapa aduan baharu daripada orang awam berhubung penjualan vape haram di kawasan pusat bandar.
Bertindak atas maklumat tersebut, satu operasi bersepadu besar-besaran digerakkan melibatkan 142 pegawai daripada pelbagai agensi.
Hasilnya, sebanyak 42 kertas siasatan dibuka dan 122 notis amaran dikeluarkan terhadap premis yang ingkar.
“Ops Selamat Paru-Paru membuktikan komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk melindungi generasi muda daripada ancaman rokok dan vape sekali gus mewujudkan masyarakat Johor yang lebih sihat,” katanya. – MalaysiaGazette
















