KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman (Gerakan/Operasi), Datuk Fisol Salleh berkata, kekuatan itu merangkumi pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk KDNKA, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Beliau berkata, penugasan itu turut melibatkan semua elemen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta lebih 900 pegawai dan anggota trafik dari luar Kuala Lumpur dan Selangor bagi membantu kawalan lalu lintas di lokasi strategik sekitar ibu negara.
“Jika dilihat kepada kekuatan untuk Ops ASEAN 47 tahun ini, jumlah keseluruhan anggota yang ditugaskan hampir mencecah 10,000 orang berdasarkan unjuran Kementerian Luar.
“Penugasan ini membabitkan kawalan di 24 hotel utama yang menempatkan delegasi, manakala lebih 17 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Penugasan PDRM sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Tapak Hangar Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama di sini hari ini.
Menurut Fisol, tahap kesiapsiagaan pasukan kini mencapai 100 peratus dengan semua anggota telah melapor diri serta menjalani proses penempatan dan pengenalan kawasan operasi secara berperingkat.
“Semua petugas sudah melapor diri dan akan digerakkan untuk membuat penyesuaian kawasan. Tugasan akan dijalankan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar tanggungjawab,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menegaskan, tiada sebarang penutupan jalan besar-besaran atau ‘lockdown’ akan dilaksanakan sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.
“Orang ramai tidak perlu bimbang. Tiada penutupan jalan sepenuhnya atau sekatan pergerakan seperti ‘lockdown’.
“Kita akan melaksanakan kawalan keselamatan secara berfasa di lokasi tertentu bagi memastikan kelancaran laluan delegasi tanpa menjejaskan aktiviti harian penduduk,” katanya.
Tambah beliau, pasukan trafik akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan aliran trafik terkawal dan tidak menimbulkan kesesakan di kawasan tumpuan.
Selain itu, kawalan keselamatan turut diperketatkan dengan penglibatan pasukan khas seperti Unit Tindakhas (UTK) dan Cawangan Khas Bukit Aman bagi mengendalikan delegasi berisiko tinggi.
Fisol turut memaklumkan beberapa aset baharu digunakan bagi memastikan operasi berjalan lancar, termasuk kenderaan perisai (APC), kereta keselamatan, dron serta kelengkapan logistik lain daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Antara aset baharu yang kita guna ialah kenderaan perisai (APC) daripada PGA, selain penggunaan dron serta kenderaan keselamatan untuk tugasan pemantauan, khususnya bagi negara-negara yang dikategorikan berisiko tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette















