KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes Zayn Rayyan Abdul Matin melahirkan kekhuatiran sebahagian naratif yang timbul dalam perbicaraan kes itu kelihatan dipengaruhi oleh pandangan dan spekulasi umum atau media sosial sebagaimana yang boleh dilihat dalam kes Zara Qairina Mahathir.
Oleh itu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mendengar kes melibatkan ibunya, Ismanira Abdul Manaf, perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan naratif sedemikian.
“Keputusan hanya boleh dibuat berasaskan keterangan yang sah serta diterima masuk di hadapan mahkamah dan bukannya berdasarkan kepada sentimen orang awam atau netizen.
“Dalam kes ini, kami menghujahkan Ismanira berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa tiada pengabaian dilakukan terhadap Zayn Rayyan.
“Ini dapat dibuktikan melalui keterangan saksi pembelaan kelima (SD5), Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr. Noor Aishah Rosli yang diakui oleh saksi pendakwaan ke-28 (SP28) bahawa keterangan pakar perlu untuk membuktikan pengabaian.
“SD5 yang merupakan saksi terakhir pembelaan telah memberi pendapat pakar bahawa untuk menilai elemen-elemen pengabaian, kita tidak boleh lihat pada satu aspek tunggal sahaja.
“Aspek sebelum kejadian melibatkan hubungan ibu dan anak, semasa kejadian serta selepas kejadian perlu diteliti. SD5 menyatakan keadaan kes ini tidak menunjukkan tertuduh telah mengabaikan Allahyarham Zayn Rayyan.
“SD5 juga menyatakan jika ada penglibatan pihak ketiga yang menyebabkan kematian Zayn Rayyan, tertuduh tidak boleh dimasukkan sebagai orang yang telah mengabaikan kanak-kanak itu.
“Maka tidak selamat untuk mensabitkannya melainkan dia perlu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” demikian menurut penghujahan bertulis pihak pembelaan yang diperolehi pihak media, hari ini.
Penghujahan bertulis pada akhir kes pembelaan itu difailkan oleh pasukan peguam daripada Tetuan Haresh Mahadevan & Co. pada 18 September lalu.

Pasukan peguam kemudian menggariskan beberapa alasan mengapa Ismanira perlu dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Pihak pembelaan menyatakan, pembelaan Ismanira bukan satu penafian kosong semata-mata atau pembelaan yang dikatakan fikiran terkemudian (afterthought).
Ketika kes pendakwaan, terdapat cadangan yang dibangkitkan bahawa tertuduh mengabaikan Zayn Rayyan sebelum kehilangannya dengan cara membiarkan arwah bermain buaian di taman seorang diri sebelum wanita itu naik ke rumah.
Menurut pembelaan, keterangan SD5 yang merupakan pakar kanak-kanak bahawa tertuduh tidak mengabaikan anaknya, tidak pernah disanggah oleh pihak pendakwaan.
Hujahan bertulis itu turut menyatakan, keterangan Ismanira disokong oleh saksi-saksi lain iaitu bapa mentua, Zahari Mohd Reba (SD2); rakan tertuduh Umi Shafiqah Rohizal (SD4) dan ibu saudara wanita itu walaupun disoal balas secara terperinci oleh pendakwaan.
Hujah pembelaan, keterangan tertuduh dan saksi-saksinya hanya menjurus kepada satu rumusan iaitu Ismanira tidak mengabaikan anaknya, sebaliknya telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu.
Selain itu, terdapat keterangan-keterangan bahawa saksi-saksi telah ditekan untuk mengenakan tertuduh dan tindakan tersebut menjadikan penyiasatan tercemar dan hak perlembagaan wanita itu dicabuli.

Ismanira, 30, didakwa atas pertuduhan pindaan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding berlangsung, tertuduh diwakili peguam- peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang mendengar kes itu akan memutuskan pada 31 Oktober ini sama ada Ismanira bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan. – MalaysiaGazette
















