KUANTAN – Penggunaan prinsip tabayyun iaitu menyemak, menyelidik atau memastikan kebenaran, amat relevan dalam dunia maklumat hari ini .
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail berkata, penggunaan statistik rasmi menjadi benteng utama mempertahankan kebenaran dan kejujuran sesuatu maklumat.
Ia kerana di era media sosial ketika ini, kebenaran sering kali ditenggelamkan oleh persepsi, fitnah dan tohmahan.
”Fakta boleh diputar, angka boleh dimanipulasi dan naratif boleh diubah mengikut kehendak pihak tertentu.
”Di sinilah pentingnya peranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan institusi kerajaan untuk memastikan setiap data yang dikeluarkan berasaskan metodologi yang sahih, bebas daripada manipulasi dan bersumberkan bukti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Wan Rosdy, Pahang juga sering berhadapan dengan permainan persepsi terhadap dasar dan kejayaan negeri, sama ada berkaitan ekonomi, kebajikan rakyat atau alam sekitar.
Namun dengan perpandukan data yang tepat menunjukkan sebaliknya bagi menangkis kekeliruan.
Angka-angka pelaburan yang meningkat, kadar kemiskinan yang menurun serta pertumbuhan sektor pelancongan dan pertanian yang konsisten membuktikan realiti lebih kuat daripada persepsi.
”Justeru, saya ingin menyeru agar budaya berpaksikan data (data-driven culture) terus diperkukuh di semua peringkat, daripada pentadbiran negeri, agensi pelaksana hinggalah ke masyarakat umum.
”Hanya dengan fakta yang sahih, kita dapat menangkis tohmahan, membina keyakinan rakyat dan memperkukuh kestabilan negeri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada Ketua Perangkawan atas pencapaian cemerlang apabila Malaysia kini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/2025 naik daripada kedudukan ke-67 sebelumnya.
Ia jelas membuktikan Malaysia diiktiraf di peringkat global dalam keterbukaan dan kebolehaksesan data rasmi.
DOSM juga berjaya menerbitkan 222 penerbitan Statistik Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, suatu usaha yang amat penting dalam memperkukuh ekosistem data nasional.
”Sebagai pemimpin negeri, saya melihat inisiatif ini sebagai rujukan penting dalam menilai keberkesanan dasar serta memperkukuh perancangan masa depan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















