Pengiktirafan penting untuk melahirkan lebih banyak insan berjaya yang mampu mengharumkan nama negara masing-masing.

KUALA LUMPUR – Platform pengiktirafan bertaraf antarabangsa, The Asia Records bakal mencetus fenomena baharu apabila meraikan pencapaian luar biasa individu dan organisasi di rantau Asia.

Pengasas anugerah itu, Datuk KK Chua itu berkata, inisiatif itu akan mengubah landskap dengan menonjolkan bakat serta kejayaan masyarakat Asia dalam pelbagai bidang termasuk seni, sukan, sains dan khidmat masyarakat.

Menurutnya, The Asia Records akan memberi inspirasi dan mencabar individu serta organisasi untuk mencapai kejayaan dengan merakamkan setiap pencapaian sekali gus mempromosi kecemerlangan dan dedikasi mereka dalam pelbagai bidang.

“Inisiatif ini tidak hanya menonjolkan bakat dan kemampuan orang Asia tetapi juga memupuk semangat persaingan sihat dan motivasi.

“Dengan 60 peratus daripada populasi dunia berasal dari Asia, kami menyedari potensi besar yang belum diterokai dalam rantau yang dinamik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjangkakan The Asia Records menjadi anugerah terpenting di rantau ini yang kedua selepas The Guinness World Record.

Sementara itu, Penasihat The Asia Records,  Tunku Fauzi Tunku Abdul dalam kenyataan sama memaklumkan banyak individu Asia berjaya di pentas dunia namun tidak direkodkan menyebabkan pencapaian mereka kurang diketahui masyarakat.

“Dengan adanya The Asia Records, kami berusaha untuk merakamkan setiap kejayaan mereka sebagai rujukan kepada orang lain untuk mencapai kejayaan sama atau lebih daripada itu.

“Kita patut berasa bangga kerana ramai orang Asia yang berjaya pada peringkat global dan ia perlu direkodkan agar tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan seperti itu penting untuk melahirkan lebih banyak insan berjaya yang mampu mengharumkan nama negara masing-masing kerana ia bukan sahaja pencapaian peribadi tetapi turut membanggakan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast