Foto IG Kamal Adli.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Kamal Adli menyangkal dakwaan netizen yang mengatakan dia terlalu sibuk bekerja hingga tiada masa untuk keluarga dan anaknya, Hawra Uqaira.

Kamal, 39, berkata, tuduhan berkenaan menjatuhkan maruahnya kerana ia tidak benar sama sekali.

Tegasnya, dia sentiasa mencari ruang untuk meluangkan masa dengan keluarga tercinta walaupun sibuk dengan urusan kerja.

“Ada segelintir netizen yang membuat andaian saya tiada masa untuk anak sendiri, tak baik tau! Banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.

“Saya seorang ayah yang sangat sayangkan anak, mustahil saya tak fikir fasal Hawra,” katanya di hantaran terbaharu di Instagram hari ini yang turut memaparkan foto mesra dia bersama anak dan isteri, Uqasha Senrose.

Sebelum ini, rumah tangga Kamal dan Uqasha menjadi bualan ramai susulan mereka sudah tidak saling mengikuti di Instagram.

Malah netizen juga mendakwa Uqasha mula memberi pelbagai bayangan mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 10 bulan.

Mengulas lanjut, Kamal juga menafikan dakwaan sudah tidak menerima sebarang tawaran lakonan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, dakwaan itu tidak masuk akal kerana dia sendiri memilih untuk berehat seketika selepas jadual kerjanya padat selama dua bulan berturut-turut.

“Ada netizen dakwa saya tiada kerja sampai tiga bulan, salah itu. Saya tak ambil job selama dua bulan untuk berehat selepas back to back dengan kerja dan fokus kepada anak dan isteri.

“Alhamdulillah, setakat ini, rezeki saya tidak putus, mencukupi untuk keluarga kecil saya. Yang paling penting, isteri dan anak saya sihat dan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

“Saya juga sangat bersyukur isteri dan anak saya dikelilingi ahli keluarga dan orang yang menyayangi mereka,” luahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast